Loading...
TR

Rosakkan kereta orang, peniaga bazar ditahan, beberapa suspek sedang giat diburu


Polis telah menahan seorang peniaga berusia 26 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes menyerang kereta seorang wanita di Bazar Buluh Kubu, Kota Bharu, malam Khamis. 

Ketua polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, pihaknya juga sedang giat mengesan beberapa lelaki yang dipercayai turut terbabit dalam kejadian itu. 

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 10.30 malam semalam, wanita yang memandu kereta Toyota Camry yang turut dinaiki adik dan dua orang anaknya, terdahulu meminta kepada peniaga agar mengalihkan meja serta barang jualan kerana mahu melalui jalan tersebut. 

Mereka yang baru keluar dari parkir sebuah pasar raya kemudian melalui jalan itu, tetapi ditendang beberapa lelaki yang berang kerana mereka melalui jalan yang dijadikan tapak jualan. 

Wanita itu meneruskan perjalanan dan ketika melalui sebuah kedai makan berhampiran pasar, keretanya ditendang lagi beberapa lelaki.

Bimbang dengan keselamatan diri dna keluarga, wanita itu meneruskan perjalanan dan ketika berada di persimpangan lampu isyarat, keretanya sekali lagi terhalang oleh peniaga dan orang ramai yang berada di kawasan itu.

Mangsa berhenti dan keluar dari keretanya sebelum didatangi dua lelaki yang tidak dikenali lalu memecahkan cermin belakang dengan kayu dan besi. 

Adik mangsa kemudian menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan. Apabila polis tiba di lokasi kejadian, beberapa lelaki bertindak melarikan diri. 

Kes itu disasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan, 500 Kanun Keseksaan dan 427 Kanun Keseksaan. 

Sumber: Harian Metro

LAPORAN BERKAITAN

About Cite Malaya

Powered by Blogger.