Loading...
TR

Majikan siram air panas mendidih pada pembantu rumah


Seorang pembantu rumah, Eka Febriyanti, 21, di Gianyar, Bali, Indonesia, mengalami luka melecur selepas disiram dengan air panas mendidih oleh majikannya, Desak Made W yang berang dengan mangsa gagal mencari gunting yang hilang. 

Difahamkan, gunting yang didakwa hilang itu bernilai Rp88 ribu (RM25.33) dan Desak meminta Eka mencari gunting itu untuk dia memotong kawat besi.

Menceritakan semula kejadian yang berlaku pada 7 Mei itu, Eka berkata diminta oleh Desak untuk mencari gunting. Setelah menerima arahan itu, Eka terus mencari gunting tersebut sehinggalah ke gudang tetapi gagal menemuinya.


Berang Eka tidak dapat mencarinya, Desak bertindak menyiram air panas ke badan pembantu rumahnya itu, malah adik tirinya yang bekerja sebagai pengasuh dan juga pengawal keselamatan turut berbuat demikian. 

"Gunting hilang, dia suruh saya cari tetapi tidak ditemui. Lalu dia siram air panas. Sedangkan saya sudah berusaha sehabisnya untuk mencari gunting itu.

"Ya, majikan dengan adik saya dan pengawal keselamatan menyiram air panas menggunakan periuk besar itu sebanyak dua kali dari kepala, belakang badan, tangan, paha dan semua," katanya sambil menangis. 

"Saya yang ketakutan terus melarikan diri," kata Eka pada media 15 Mei, Rabu lalu. 

Mangsa melarikan diri dengan memanjat pagar rumah ketika majikannya sedang tidur dan terus ke rumah rakannya dengan bantuan orang awam yang menemuinya di tepi jalan. Mangsa kemudian membuat laporan polis sebelum mendapatkan rawatan di hospital.

Siasatan awal polis mendapati, mangsa sudah bekerja dengan Desak selama tujuh bulan selepas dicadangkan oleh adik tirinya itu. Sehingga kini Desak masih belum membayar gajinya. 


Susulan kejadian itu, tiga suspek telah ditahan polis untuk siasatan lanjut.  

Sumber: Detik News

About Cite Malaya

Powered by Blogger.