Gara-gara mahu menghalau kera dari kebun menggunakan mercun bola, seorang lelaki berusia 33 tahun hilang dua jari akibat letupan mercun tersebut.
Dalam kejadian yang berlaku pada malam Sabtu selepas waktu berbuka di Kampung Changhai, mangsa, Omar Mohd Akhir, menunggang motosikal sambil memegang mercun bola.
Difahamkan, mangsa mengambil upah untuk menjaga kebun orang sudah hampir setahun.
Mangsa yang menunggang motosikal berseorang sambil tangan kiri dipercayai memegang empat biji mercun bola dan sebatang rokok yang menyala, sumbu mercun tersebut terkena pada api rokok lalu meletup di tangan mangsa.
Menurut orang kampung, mereka terdengar bunyi empat letupan mercun pada waktu kejadian.
Mangsa yang cedera, meraung kesakitan sebelum dibantu oleh penduduk kampung berhampiran dan dihantar ke Hospital Sik.
Mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Sik, Penolong Peguasa Bomba (PPgB) Mohd Faizol Izwan Hang Tuah berkata, pihak bomba turut dipanggil untuk membantu momotong cincin pada jari mangsa di hospital tersebut.
Sumber: Sinar Harian