Tiga lelaki maut, manakala 11 lagi penumpang yang lain cedera termasuk tujuh parah selepas kenderaan Nissan X-Trail (SUV) yang dinaiki mereka terbabas di Kilometer 190.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, di susur keluar Plaza Tol Bukit Merah, Bagan Serai, hari ini.
Menurut laporan Harian Metro, kejadian itu berlaku pada jam 7.30 pagi tadi. Tiga mangsa yang maut dipercayai warga Myanmar, begitu juga dengan penumpang lain juga merupakan warga asing.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 7.36 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai dikerahkan ke lokasi.
Sebaik tiba, anggota bomba melakukan kerja-kerja menyelamat dan mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintendan Zakaria Abd Rahman berkata, siasatan awal pihaknya mendapati 14 warga asing terbabit dipercayai diseludup masuk oleh sindiket penyeludupan di negara ini.
Tiada sebarang dokumen pengenalan ditemui pada mangsa dan pemandu Nissan X-Trail telah melarikan diri selepas kemalangan itu.
Difahamkan, kereta itu dalam perjalanan ke selatan dari utara, dipercayai cuba diseludupkan ke satu kawasan tertentu.
"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenalpasti sindiket terbabit dan punca kemalangan itu dipercayai adalah disebabkan hilang kawalan sebelum terbabas merempuh penghadang jalan.
"Kemalangan itu mengakibatkan tiga warga Myanmar tercampak keluar dari SUV dan terjatuh ke bawah jambatan lebuh raya iaitu di Jalan Tali Air Kampung Tebuk Panchor dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Tujuh penumpang parah, manakala empat lagi cedera dan mereka dihantar ke Hospital Parit Buntar serta Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan," katanya.
Tiga mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Jabatan Forensik Hopsital Parit Buntar untuk dibedah siasat.
Empat warga asing yang cedera telah ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.