Seorang wanita terkejut apabila mendapati seekor ular kobra berada di dalam mangkuk tandas ketika dia mengangkat anak perempuannya dari tandas itu, lapor Daily Mail.
Ular berbisa yang boleh membesar lebih dari enam kaki panjang itu ditemui berlingkaran dalam mangkuk tandas tanpa disedari oleh kanak-kanak berusia lima tahun itu.
Ibunya, Juliette Roos, terus menjerit meminta bantuan dari suaminya, Johan, yang kemudian segera datang dan cuba mengeluarkan ular itu menggunakan rel langsir.
Namun, ular tersebut masuk semula ke dalam mangkuk tandas.
Difahamkan kejadian itu berlaku di tapak perkhemahan di bahagian utara Afrika Selatan.
"Ia sangat menakutkan dan biasanya perkara seperti ini hanya berlaku dalam filem sahaja. Saya tak sedar anak saya gunakan tandas. Apabila dia selesai, saya ternampak kepala ular itu dalam mangkuk tandas.
"Saya jadi takut tapi tak mahu membuat anak berasa panik, saya tak suruh dia pandang belakang," katanya.
Sementara itu bapanya, Johan menyangka isteri dan anaknya takut dengan kehadiran labah-labah. Tetapi sebaik saja tiba di tandas itu, dia terkejut apabila ternampak ular tersebut.
Percubaan Johan untuk mengeluarkan ular itu gagal apabila ular itu masuk semula ke dalam mangkuk tandas.
"Kami ambil keputusan, biarkan saja ular itu," katanya.