Susulan tindakan mengkritik keterangan Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi berhubung kes kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim sehingga menimbulkan kekecohan di kalangan netizen, Cik Miera atau nama sebenar Siti Syafika Amira Mohd Rasani, 27, memohon maaf kepada semua pihak.
Menurut saksi ke-25 itu, kritikkan itu dibuat mengikut emosi tanpa mengetahui fakta sebenar kes tersebut.
"Saya minta maaf sebab bertindak mengikut emosi tanpa ketahui fakta sebenar kejadian dan semua yang terbabit kerana kekecohan ini," katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Zhafran Rahim Hamzah pada hari prosidng, hari ke-18 di Mahkamah Koroner di Shah Alam, hari ini.
Jelas Siti Syafika, kenyataannya itu dibuat berdasarkan maklumat yang diperolehinya daripada pembantu pegawai pembedahan di IJN, Muhammad Ashraff Baruji bahawa Adib ada memberitahu dia dipukul.
"Saya dengar Ashraff sesudah habis melawat Adib, (Ashraff kata) saya (Ashraff) tanya sama ada dipukul, kali pertama Adib menggeleng, kali kedua, Adib menggeleng, kali ketiga dia (Adib) mengangguk," katanya.
Zhafran kemudian bertanya, mengapa keterangannya pada hari ini berbeza dengan kenyataannya yang dimuat naik di Facebook sebelum ini.
"Masa itu, saya percaya Adib dipukul tanpa mengetahui perkara sebenar. Tetapi, saya yakin doktor (forensik) beri keterangan berdasarkan kepakaran."
Zahfran: "Akaun Facebook kamu masih aktif?"
Siti Syafika: "Tak. Sebab selepas itu saya terima banyak 'personal message'."
Memetik laporan Harian Metro, Siti Syafika tidak dapat menahan sebak dan mengalir air mata ketika menjawab soalan Zhafran berhubung apa yang membuatkan dia sungguh beremosi sehingga memuat naik status tersebut di Facebook, Jumaat lalu.
Zhafran: "Kenapa kamu sangat beremosi sehingga buat kenyataan itu?"
Siti Syafika: "Sepanjang Adib ada di sana (IJN), saya lihat keluarganya, saya melihat tunangnya, saya melihat keadaan keluarganya yang menangis. Pihak bomba yang tidur di luar ICU, di atas kerusi menunggu setiap hari."
Zhafran: "Dan ini membuat kamu rasa macam mana?"
Siti Syafika: "Saya lebih merasa dalam keadaan hubungan kekeluargaan."
Terdahulu, saksi yang sudah enam tahun berkhidmat sebagai jururawat memberitahu dia diarahkan untuk membantu doktor memasang ECMO (Extracorporeal Membrane Oxygenation) pada Adib pada 28 November 2018.
Zhafran: "Kamu ada lihat Adib, bagaimana keadaan dia?"
Siti Syafika: "Seluruh badan dia bengkak, dada kanan dia ada lebam, ada salur tiub pada sebelah kanan."
Zhafran: "Selain itu, ada apa-apa lagi?"
Siti Syafika: "Bengkak dan lebam pada pangkal paha. Tetapi saya tidak pasti belah mana."
Zhafran: "Selain itu, apa kecederaan lain?"
Siti Syafika: "Skrotum dia membesar macam belon"
Zhafran: "Keadaan muka dia?"
Siti Syafika: "Keadaan dia pada masa itu, saya tak pasti. Yang saya lihat muka dia bengkak dan dada dia ada lebam."
Zhafran: "Dia sedar masa itu?"
Siti Syafika: "Tak sedarkan diri."
Selain itu, Siti Syafika berkata, ada dua masa lain di mana dia membantu mengendalikan Muhammad Adib ketika anggota bomba itu dirawat di ICU IJN, iaitu pada 2 dan 3 Disember.
Pada kali kedua, anggota bomba itu dilihat tidak sedarkan diri, manakala pada kali ketiga, pesakit dilihat tidak membuka mata tetapi hanya mengangguk selepas mendengar arahan doktor.
Sementara itu, Ketua ICU IJN Datuk Dr Suneta Sulaiman berpendapat bahawa Siti Syafika tidak layak memberi kenyataan berhubung kecederaan pada mangsa kerana tidak mempunyai kepakaran dalam hal itu.
Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.
Sumber: Harian Metro