Loading...
TR

'Saya sedar berniaga di tengah jalan ini salah & bahaya, tetapi saya terpaksa demi mencari sesuap nasi'


Kisah kesempitan hidup Maryam Ayob, 62, dan anaknya, Mohd Sahir Rozalee, 34, yang sanggup mengambil risiko menjual makanan di jalan raya, viral di media sosial. 

Menurut ibu tunggal itu berkata, dia hilang punca pendapatan sejak suaminya meninggal pada 2013 menyebabkan dia terpaksa berniaga menjual makanan seperti bihun goreng, nasi lemak serta kuih-muih bagi menyara hidupnya bersama Mohd Sahir yang juga OKU. 

"Saya sebelum ini menjual di tepi jalan, namun tidak laku hingga saya buntu untuk mencari wang. Akhirnya kami menarik kereta roda dari rumah kami di Permatang Janggus ke Permatang Rawa, kemudian menjualnya dengan mengetuk tingkap kenderaan di tengah jalan bagi melariskan jualan.

"Kalau tak berniaga sehingga ke 'tengah jalan', kami tak boleh makan. Adakalanya hendak makan pun kami tak mampu dan melalui cara menjual 'di tengah jalan' ini membuatkan jualan kami laris hingga memperolehi hasil antara RM120 ke RM270 sehari," katanya. 


Difahamkan, Maryam menerima bantuan zakat sebanyak RM300 sebulan, manakala anaknya juga menerima bantuan dari JKM sebanyak RM400 sebulan. Namun wang yang diperolehi itu tidak dapat menampung kos sara hidup yang terlalu tinggi. 

Oleh kerana keadaan yang begitu mendesak, dia tiada jalan lain selain berniaga untuk mencari pendapatan sendiri dengan dibantu oleh anaknya. 

Maryam berkata, dia jelas tindakannya itu salah dan berbahaya tetapi dia terpaksa demi mencari sesuap nasi. 

"Saya sedar berniaga di tengah jalan ini salah dan membahayakan diri, namun apa boleh buat kerana saya terpaksa demi mencari sesuap nasi. 

"Syukur sangat kepada pihak yang sudi menghulurkan bantuan sebab saya dan anak tidak tahu apa-apa. Nak menyewa gerai sudah tentu kami tidak mampu. Jadi, apabila ditawarkan gerai secara percuma, ia melegakan hati saya," katanya.


Terdahulu, Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Shuhada Abdul Rahim mengunjungi dua beranak itu untuk menyampaikan surat tawaran gerai percuma bagi membantu dua beranak itu berniaga dalam keadaan selesa dan tidak membahayakan diri.

"Difahamkan mereka sudah berniaga selama tiga tahun sebelum video serta gambar dua beranak itu tular di laman sosial. 

"Kita memang lama menyedari apa yang berlaku dan beberapa kali meminta dua beranak itu berhenti berniaga di tengah jalan dengan membawa ke gerai yang lebih selesa, namun mereka menolaknya. 

"Bagaimanapun saya bersyukur kerana dua beranak terbabit akhirnya menerima gerai yang diberikan kepada mereka hari ini (semalam)," katanya. 

Sumber: Harian Metro

About Cite Malaya

Powered by Blogger.