Loading...
TR

Remaja pinjam RM12,000 dari Along untuk 'manjakan' teman lelaki


Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun sanggup membuat pinjaman wang dengan along demi teman lelakinya dan kini terpaksa menanggung hutang sebanyak RM12,000. 

Kes remaja ini menjadikan dia sebagai peminjam termuda yang terjebak dengan ceti haram, berdasarkan rekod Unit Banteras Ceti Haram, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) setakat ini. 

Menurut laporan Harian Metro, remaja terbabit yang bekerja sebagai pembantu di kedai serbaneka di Kuala Lumpur membuat pinjaman wang dengan tujuh along dan semua wang itu dibelanjakan untuk teman lelakinya yang tidak bekerja, seperti membayar ansuran bulanan motosikal dan duit poket. 

Keadaan itu berterusan dan kini dia menghadapi masalah untuk membayar pinjaman yang dibuat sejak lima bulan lalu. 

Remaja yang tidak didedahkan identitinya itu berkata, dia mengenali teman lelakinya tahun lalu sebelum menjalinkan hubungan cinta. Sebaik saja tamat persekolahan, dia selalu menghulurkan wang kepada teman lelakinya yang tidak bekerja, setiap kali diminta atas dasar sayang. 

Lelaki itu kemudian meminta wang untuk membeli motosikal. Tanpa berfikir panjang, remaja berkenaan terus membuat pinjaman along sebanyak RM2,000 dan membantu teman lelakinya membuat bayaran ansuran bulanan. 

"Saya memang tidak fikirkan apa kesannya kerana sayangkan dia dan ingin menjalani hidup bersama. Tidak lama kemudian, saya pinjam lagi kerana nak gunakan wang. Gaji saya sebagai pembantu di kedai tidak seberapa," katanya memetik laporan daripada Harian Metro.

Beberapa bulan kemudian, dia membuat pinjaman tambahan daripada tiga along lain antara RM2,000 hingga RM4,000 dengan tuntutan keseluruhan berjumlah RM12,000. 

Akibatnya, dia kini buntu memikirkan cara untuk membayar semula pinjaman itu dan atas nasihat keluarga, dia merujuk masalah tersebut dengan pihak PPIM selain cuba berunding dengan teman lelakinya. Malangnya, lelaki terbabit mengelak dan seperti tidak mahu menanggung masalah itu bersama. 

Pengarah Unit Banteras Ceti Haram PPIM Azman Kang berkata, pihaknya cuba berbincang dengan lelaki terbabit untuk mencari jalan penyelesaian, tetapi setakat ini masih belum membuahkan hasil. 

Masalah itu menjadi rumit kerana pinjaman itu dibuat di atas nama mangsa dan dia perlu bertanggungjawab membuat pembayaran bulanan seperti mana yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak sebelum ini. 

"Bukan mudah untuk berurusan dengan ramai along, apatah lagi dia baru saja tamat sekolah tahun lalu. Unit ini akan cuba membantu dan kita akan jadualkan semula pembayaran yang dipersetujui bersama antara keluarga dan along," katanya. 

Sumber: Harian Metro

About Cite Malaya

Powered by Blogger.