Seorang janda bersama dua orang anak perempuannya ditemui mati di kediamannya pada jam 5.20 petang Sabtu lalu, di Bengkulu, Indonesia.
Mangsa, Hasnatul Laili, 35, bekerja sebagai penjual pisang, dan dua orang anaknya, Melan Miranda, 16, dan Cika Ramadani, 10, ditemui dalam keadaan sudah tidak bernyawa oleh keluarganya sendiri yang tinggal tidak jauh dari rumah mangsa.
Polis berjaya menahan suspek, Jamhari Muslim, yang merupakan bekas suami mangsa pada Isnin, ketika suspek keluar dari sebuah hotel di Kota Manna, untuk melarikan diri ke lokasi lain.
Suspek mengakui dia sememangnya sudah berniat membunuh bekas isterinya. Namun ketika kejadian itu berlaku, anak sulungnya telah menyaksi perbuatan suspek. Bimbang perbuatannya diketahui, suspek kemudian membunuh dua orang anaknya itu.
"Memang saya sudah merancang mahu membunuh dia. Tetapi anak ternampak saya membunuh bekas isteri, lalu saya pukul mereka dan kemudian dicekik menggunakan kabel sehingga mati," katanya.
Jamhari mengakui dia bertindak demikian kerana berang dengan mangsa yang menolak ajakannya untuk rujuk semula.
"Dia tidak mahu diajak rujuk kembali. Saya kesal lalu saya pukul dia sampai mati," katanya.
Selepas melakukan pembunuhan itu, suspek sempat melarikan barang-barang berharga milik mangsa seperti cincin, gelang dan satu unit telefon bimbit sebelum melarikan diri menggunakan kereta mangsa.