Semalam, media melaporkan, bekas isteri penyanyi Hafiz Hamidun, iaitu Joy Revfa atau nama sebenar Siti Arifah Mohd Amin, sudah mempunyai kekasih baru.
Perkara itu didedahkan oleh Joy sendiri melalui gambar-gambar di Instagramnya bersama dengan seorang lelaki bernama Faiz.
Di akaun Instagram @revfaiz pula, sebanyak 18 gambar bersama Joy telah dimuat naik dengan kapsyen-kapsyen 'sweet'.
Ramai yang mengucapkan tahniah kepada Joy dan berharap hubungan mereka berkekalan selain mendoakan kebahagiaan kepada Joy dan anaknya, Arryan Firdaus, 3, hasil perkahwinannya bersama suami pertamanya sebelum ini.
Sementara itu, Harian Metro pula melaporkan Hafiz Hamidun berdepan dengan detik cemas kerana ada peminat wanita misteri yang secara tiba-tiba muncul di pejabatnya, kelmarin.
"Wanita itu datang ke pejabat dengan menggenakan purdah hitam mendakwa seolah-olah mengenali saya dan kebetulan ketika itu saya tiada di pejabat.
"Oleh kerana saya tiada, dia meninggalkan nombor telefon dan namanya untuk saya hubungi semula. Dia mendakwa saya mengenalinya dan pernah merancang untuk berkolaborasi projek dengan artis Kpop," katanya.
Bagaimanapun selepas diselidik, wanita itu pernah menulis status pelik di laman Twitter yang dikaitkan dengan dirinya selain mendakwa pernah menganut tiga agama sekali gus, mengundang pelbagai reaksi netizen.
Hafiz pada awalnya memuat naik mengenai perkara itu di Twitter meminta bantuan orang ramai mencari keluarga wanita berkenaan agar dapat dibantu. Namun tweet itu dibuang selepas netizen mula mengaitkan wanita itu mengalami masalah mental.
"Ahli keluarga wanita itu ada menghubungi pengurusan saya, namun cukup mengecewakan apabila mereka melabelkan saya sebagai artis sampah kerana sengaja menularkan kisah wanita itu. Padahal saya mahu membantu selepas mendapat tahu keluarga wanita itu sudahpun membuat laporan polis selepas dia dipercayai melarikan diri dari rumah pada 13 November lalu," katanya.
Sumber: mStar Online, Harian Metro