Memetik laporan dari Sinar Harian, Muhammad Khalil berkata, sambutan perayaan itu melibatkan perbuatan mensyirikkan Allah dengan tiga sifat ketuhanan.
"Sambutan Hari Natal mempunyai unsur-unsur syirik, sekali gus bertentangan dengan ajaran Islam. Mereka mendakwa Tuhan ada anak, sedangkan ia bertentangan dengan pegangan kita dalam Islam.
"Mereka menyambut Hari Raya Krismas dengan memasukkan unsur-unsur ini dan mendakwa Nabi Isa sebagai anak tuhan," katanya.
Dalam laporan itu, Muhammad Khali berkata, terdapat juga ulama yang berpendapat bahawa umat Islam boleh meraikan hari kebesaran agama lain yang tidak melibatkan pegangan akidah tetapi cuma melibatkan budaya sahaja.
"Hari kebesaran bukan Islam tidak boleh diraikan oleh orang Islam kerana melibatkan pegangan dan kepercayaan agama yang salah, sebaliknya ia diizinkan jika hanya melibatkan perbezaan budaya.
"Sebagai contoh, perayaan Tahun Baru Cina, ia adalah budaya bukan agama tapi yang melibatkan agama, contohnya Hari Deepavali, kita tidak boleh sambut," katanya yang turut mengingatkan Umat Islam tidak sewenang-wenangnya menulis status di Facebook memberi ucapan sambutan perayaan itu.
"Lain keadaan sekiranya ada jiran kita beragama Kristian, boleh ucap sebagai tanda menghormati mereka.
"Namun tidak boleh suka-suka untuk ucap kepada mereka melalui status yang ditulis secara umum contoh di laman sosial Facebook. Ia seolah-olah menunjukkan keredaan kepada agama mereka.
"Ada ulama berkata, sebagai meraikan masyarakat majmuk, diizinkan kepada orang-orang tertentu sahaja. Namun dalam ruang lingkup yang terhad yang tidak digambarkan melalui perbuatan dan pemakaian kita," katanya.
Sumber: Sinar Harian, MalaysiaKini