Loading...
TR

6 lelaki belasah pemandu bas ekspres didenda RM2,000


Padah membelasah seorang pemandu bas ekspres di R&R Gambang arah timur minggu lalu, enam lelaki dijatuhkan hukuman denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Kuantan selepas kesemua mereka mengaku bersalah di atas pertuduhan tersebut.

Tertuduh Ahmad Mohamad Noor, 44, Muhammad Isamrudin Dollah, 34, Shahrizan Mohd Sham, 36, Haire Dollah, 40, Ahmad Kamaruddin Mohamad Noor, 41, dan Mohd Hapis Sukri Dollah, 36, mengaku bersalah di atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nurunaim Abdullah. 

Berdasarkan pertuduhan, enam tertuduh dengan tujuan bersama mendatangkan kecederaan ke atas mangsa, Mohd Saifullakmal Abdul Rasid, 32, pada jam 1.30 pagi 24 Disember di kawasan tempat letak kereta R&R Gambang. 

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. 

Pendakwaan dijalankan oleh pegawai pendakwa Inspektor P Prabu. 

Kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun meminta mahkamah mengenakn hukuman denda dalam jumlah yang minimum atas alasan mereka bergaji rendah dan mempunyai keluarga untuk ditanggung. 

Majistret kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 kepada setiap tertuduh. Jika tertuduh gagal membayar denda yang dikenakan, mereka boleh dikenakan dua bulan penjara. 

Sementara itu, dalam prosiding sama, pemandu bas ekspres, Mohd Saifullakmal mengaku tidak bersalah di atas dua pertuduhan memukul dua pekerja di gerai di R&R Gambang. 

Tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan majistret. 

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Saifullakmal didakwa sengaja mencederakan Mohamad Irwan Shah Azman, 17, dengan memukul belakang leher mangsa. 

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa sengaja mencederakan Shahril Helmi Mohd Radzuan, 17, dengan mencekik mangsa pada masa dan tempat yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali. 

Tertuduh bagaimanapun merayu agar mahkamah mengurangkan jumlah jaminannya yang ditawarkan kepadanya oleh pihak pendakwaan sebanyak RM5,000 kerana perlu menanggung tiga anak dan isterinya yang tidak bekerja. 

Majistret kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan yang dikenakan dengan seorang penjamin. Kes disebut semula pada 14 Januari depan. 

Sumber: Harian Metro

About Cite Malaya

Powered by Blogger.