Seorang wanita hamil bertindak mencurah air panas di muka bekas suaminya yang 'ganas' selepas dia diculik dan dirogol.
Media tempatan melaporkan mangsa, yang tidak dinamakan, berusia 20 tahun, diculik dari rumahnya oleh suspek yang merupakan bekas suaminya, juga
berusia 20 tahun dengan bantuan abang mangsa dan seorang wanita.
Gambar-gambar telah diambil oleh polis di bandar Eldorado di negeri selatan Brazil.
Ibu mertua mangsa dan jiran-jiran dilaporkan melihat mangsa dibelasah di dalam kereta yang kemudian dipandu laju meninggalkan tempat kejadian.
Wanita itu, yang sedang hamil empat bulan dilaporkan hilang dan pihak polis menjumpainya keesokan hari di sebuah rumah di mana dia dikurung oleh suspek yang menyiksanya di dalam bilik dan berulang kali merogolnya, menurut polis.
Suspek dikatakan mengaku melakukan jenayah kepada pihak polis dan memberitahu bahawa mangsa, ketika dia sedang leka, telah mengambil peluang mencurah air mendidih ke atas mukanya.
Gambar-gambar menunjukkan muka, leher dan dadanya melecur teruk, manakala mangsa menunjukkan tanda-tanda diserang dengan luka pada tangan, jari dan lebam di belakang kepalanya.
Suspek dikatakan memberitahu penyiasat bahawa dia melakukan jenayah tersebut kerana tidak dapat menerima kenyataan bekas isterinya telah berpisah dengannya tujuh bulan lalu dan mula keluar dengan lelaki lain.
Ketua penyiasat, Pablo Reis berkata suspek akan berdepan dengan tuduhan jenayah penculikan, penyiksaan dan rogol.
Abang mangsa dan wanita yang didakwa membantu menculiknya juga ditahan tetapi belum dikenakan pertuduhan.
Mangsa dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut dan tiada kemas kini mengenai keadaannya.
Kes ini masih disiasat.
Sumber: Mirror, mStar Online