Seorang warga emas berusia 71 tahun meninggal dunia setelah terjatuh ke dalam longkang ketika turun dari bas di Beserah, di sini pagi semalam.
Dalam kejadian sekitar 9 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Mek Teh Dagang dipercayai terjatuh ketika turun dari bas henti-henti Rapid di Jalan Kuantan - Kemaman.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Noor Yusof Ali berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada anak saudara mangsa pada 9.30 pagi.
"Semasa pihak kami tiba di lokasi,mangsa dilihat terbaring dan mengalami kecederaan pada bahagian kepala.
"Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian," katanya.
Mohd Noor berkata hasil bedah siasat menyatakan mangsa meninggal dunia disebabkan berlakunya pendarahan di dalam kepala akibat terjatuh ke dalam longkang dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Jenazah mangsa telah dituntut oleh anggota keluarga dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Pasir Putih Kampung Baru Beserah, petang semalam. - Bernama