Difahamkan, kanak-kanak itu dimasukkan ke dalam mesin basuh oleh bapa saudaranya yang bergurau ketika datang membasuh pakaian di kedai dobi itu bersama ibu kanak-kanak terbabit.
Bagaimanapun, kejadian itu tidak disedari ibu kanak-kanak berkenaan.
Lebih malang, gurauan lelaki itu mengundang padah apabila pintu mesin basuh berkenaan tidak dapat dibuka menyebabkan kanak-kanak itu terperangkap di dalamnya.
Malah, video kejadian itu yang berdurasi dua minit 46 saat turut tular di media sosial memaparkan beberapa individu cuba menyelamatkan kanak-kanak itu.
Beberapa individu terbabit bertindak memecahkan cermin pintu mesin basuh berkenaan selepas usaha membuka pintu mesin itu tidak berhasil.
Sementara itu, pemilik kedai dobi berkenaan, Hazmal Hassan, ketika dihubungi berkata, ada menerima panggilan daripada bapa kanak-kanak berkenaan yang menghubungi pengurusnya bagi menyelesaikan masalah serta ganti rugi akibat kejadian yang berlaku.
Katanya, berdasarkan maklumat diterimanya, kanak-kanak itu datang ke kedai dobinya bersama ibu serta bapa saudaranya untuk mencuci pakaian.
"Berdasarkan maklumat yang saya terima, kanak-kanak itu bergurau dengan bapa saudaranya yang berusia lingkungan umur 20-an.
"Secara tiba-tiba, lelaki itu memasukkan kanak-kanak itu ke dalam mesin basuh sebelum pintu mesin terkunci dan tidak dapat dibuka," katanya.
Hazmal berkata, beberapa pekerja restoran yang terletak bersebelahan kedai dobinya kemudian cuba membantu untuk membuka pintu mesin basuh berkenaan, namun tidak berjaya.
Katanya, oleh kerana pintu mesin itu tidak dapat dibuka, mereka bertindak memecahkan cermin pintu mesin basuh itu untuk menyelamatkan kanak-kanak itu.
"Pintu mesin itu lazimnya akan terkunci secara automatik apabila dimasukkan syiling serta apabila butang 'mula' atau butang 'start' ditekan.
"Saya tidak tahu bagaimana ia berlaku, namun masalah di sini adalah ia bukan saja menyebabkan saya kerugian hampir RM3,000 sebaliknya nyawa seorang kanak-kanak hampir melayang," katanya.
Menurut Hazmal, kanak-kanak itu bernasib baik berikutan mesin berkenaan tidak berputar mungkin disebabkan terlebih muatan.
Katanya, susulan kejadian itu, dia membuat satu laporan polis agar tindakan serta siasatan dapat dijalankan berikutan kejadian itu boleh mengancam nyawa kanak-kanak berkenaan. - Harian Metro