Seorang wanita mengaku bersalah di atas pertuduhan melakukan khalwat dengan adik iparnya, dikenakan hukuman denda RM1,300 oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu, semalam, lapor Sinar Harian.
Wanita terbabit, 29, yang merupakan guru tabika, dan adik iparnya, 25, tidak bekerja, masing-masing dikenakan denda RM1,300 dan jika gagal membayar denda itu, mereka berdepan dengan hukuman penjara selama seminggu.
Mahkamah menjatuhkan hukuman itu selepas kedua-duanya mengaku bersalah dan atas pertuduhan tersebut di bawa Seksyen 31 (a) Enaken Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.
Mengikut fakta kes, serbuan berwaran dilakukan di sebuah rumah di Pulau Musang, di sini, lebih kurang jam 10.45 malam, pada 26 Jun lalu.
Pintu utama yang tertutup rapat diketuk selama dua minit sebelum dibuka seorang wanita.
Pemeriksaan di dalam rumah mendapati terdapat seorang kanak-kanak sedang tidur di ruang tamu dan seorang lagi sedang tidur di dalam buaian.
Hasil pemeriksaan selanjutnya mendapati ada seorang lelaki berada di dapur yang hanya memakai kain pelikat tanpa baju.
Soal siasat mendapati mereka bukan pasangan suami isteri atau mahram, manakala kedua-dua kanak-kanak itu merupakan anak kepada wanita tersebut.
Wanita itu turut membuat pengakuan mengambil kesempatan bermadu kasih dengan adik ipar di rumah kerana suaminya berkursus.
Pendakwaan kes dikendalikan Pendakwa Syarie, Khanurulhajja Mustafar.