Enam anggota Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dilaporkan lemas di lombong di Taman Putra Perdana, Puchong, semalam ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja berusia 17 tahun yang terjatuh dalam lombong tersebut.
Menurut jurucakap Bomba Selangor, mangsa bagaimanapun masih belum ditemui dan enam anggotanya dilaporkan lemas itu berjaya dinaikkan ke atas dan pasukan perubatan yang berada di lokasi kejadian memberikan bantuan pernafasan (CPR), namun kesemua mangsa dilaporkan meninggal dunia.
Difahamkan, remaja berusia 17 tahun itu dikhuatiri lemas selepas tergelincir dan terjatuh ke dalam lombong tersebut ketika memancing bersama dengan dua orang rakannya.
Komander Operasi JBPM dari Balai Bomba Cyberjaya, Roslan Long, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.19 petang dan mengarahkan lapan pegawai dan anggota ke lokasi kejadian yang tiba selepas 30 minit kemudian.
Enam bomba yang terbabit dalam kejadian itu adalah anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang dan BBP Shah Alam.
Empat anggota BBP Pelabuhan Klang adalah Mohd Fatah Hashim, 34, Izatul Akma Wan Ibrahim, 32, Mazlan Omarbaki, 25 dan Yahya Ali, 24. Sementara dua lagi anggota dari BBP Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifzul Malik Shaari, 25.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, enam anggota terbabit lemas selepas terbeli tali akibat arus deras yang datang secara tiba-tiba.
"Ketika kejadian, keenam anggota penyelam berkenaan sudah lima minit berada dalam air bagi mengesan remaja yang hilang itu.
"Namun secara tiba-tiba datang arus deras menyebabkan kesemua mangsa terbelit tali yang dipasang antara satu sama lain dan dipercayai menjadi punca peralatan menyelam dipakai tertanggal," katanya.
Beberapa anggota bomba yang berada di atas tebing cuba menarik tali yang mengikat mangsa, tetapi tidak berjaya kerana arus terlalu deras.
Mangsa pertama berjaya dikeluarkan selepas 30 minit usaha menarik mereka berhasil. Ketika dibawa keluar, kesemua anggota penyelam berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Kesemua mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Pengarah JBPM, Mohammad Hamdan Wahid berkata, hujan lebat menyebabkan arus kuat sekali gus membentuk pusaran air di lokasi kejadian ketika operasi SAR dijalankan.
Keenam-enam anggota terbabit cuba bergelut untuk keluar daripada pusaran terbabit tetapi gagal.
"Kita dapati terdapat penghadang banjir di lokasi dan hujan yang lebat mengakibatkan aliran air deras dan melimpah ke tebing.
"Bagaimanapun kita akan lakukan siasatan dalaman aagar dapat elakkan kejadian ini daripada berulang pada masa akan datang.
"Semua jenazah akan dibedah siasat hari ini dan semua jenazah kemudiannya ke Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam untuk solat jenazah dan akan diberi penghormatan terakhir. Pengebumian akan dilaksanakan di lokasi masing-masing.
"Kejadian ini sememangnya amat tidak dijangka dan kami mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terbabit dalam tragedi ini.
"Pertama kejadian sebegini berlaku selepas kami pernah kehilangan dua penyelam di dasar laut beberapa tahun lalu," katanya.
Sumber: Harian Metro