Loading...
TR

Adam tersedak susu, pengasuh panik bungkus dan sorok mayat mangsa dalam peti ais


Dua pengasuh yang juga suspek utama kes kematian bayi berusia lima bulan, Adam Raykal Mohd Sufi Naeif, dipercayai panik selepas mangsa tersedak susu.

Pengasuh berusia 33 dan 36 tahun itu kemudian dipercayai bertindak membalut Adam dengan kain lampin sebelum memasukkannya dalam beg kitar semula berwarna hijau.

Suspek kemudian bertindak menyembunyikan mayat bayi berkenaan dalam bahagian sejuk beku peti ais dua pintu di rumah mereka.

Sumber berkata, kerana panik, suspek juga membuat cerita rekaan dengan memaklumkan kepada ibu bayi itu kononnya mangsa sudah diambil seorang lelaki berbaju putih yang dikatakan bapanya.

"Suspek terbabit berkemungkinan khuatir sehingga terpaksa mereka cerita mengenai Adam yang sudah diserahkan kepada seorang lelaki.

"Susulan itu, ibu bapa bayi berkenaan kemudian membuat laporan polis sebelum pemeriksaan dijalankan di rumah pengasuh," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, pada masa ini siasatan lanjut sedang dijalankan bagi membolehkan pihak polis mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa dari semua sudut.

"Polis juga sedang menunggu laporan bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian Adam sama ada akibat tersedak susu atau wujud unsur perbuatan jenayah," katanya.

Katanya, siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan dua pengasuh terbabit ditahan reman tujuh hari bermula hari ini. - Berita Harian

About Cite Malaya

Powered by Blogger.