Loading...
TR

Cederakan penjawat awam, 2 suspek direman 4 hari


Susulan pergaduhan peniaga dan beberapa anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) di Bazar Aidilfitri Jalan Taiping, Bandar Baru Klang semalam, polis telah menahan dua lelaki yang terbabit dalam pergaduhan itu, lapor Harian Metro.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan berkata, siasatan awal mendapati, suspek berusia 18 dan 41 tahun itu adalah peniaga minuman di bazar tersebut. 

"Dalam kejadian 9.40 malam itu, bertindak atas arahan, pengadu iaitu seorang daripada pegawai penguatkuasa MPK bersama pasukan menjalankan pemeriksaan di bazar terbabit.

"Pengadu kemudian memperkenalkan diri kepada pemilik gerai (suspek) supaya menunjukkan lesen perniagaan, namun suspek gagal mengemukakannya.

"Ketika proses sitaan barang sedang dijalankan, berlaku pertengkaran antara kedua-dua pihak sehingga seorang anggota penguatkuasa berusia 30-an cedera pada muka," katanya.

Ekoran kejadian itu, kedua-dua suspek ditahan di Balai Polis Sungai Kapar Indah ketika mereka hadir memberi keterangan jam lima pagi tadi. Suspek direman selama empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan. 

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada penjawat awam.


Difahamkan, anggota penguatkuasa MPK pernah menyita gerai suspek pada 3 Jun lalu. MPK juga telah menasihatkan dan memberi amaran kepada semua peniaga di situ, malangnya suspek masih menjalankan perniagaan tanpa lesen. 

About Cite Malaya

Powered by Blogger.