Pemergiannya bukan sahaja ditangisi, malahan pemergiannya juga dicemburui. Sudah pasti beliau adalah insan terpilih yang telah dinilai oleh Allah sebagai seorang khalifah yang memiliki peribadi yang cukup indah.
Kisah kematiannya menjadi buah mulut masyarakat Arab yang menganggap kematian ini adalah luar biasa kerana jarang terjadi. Beliau meninggal di hadapan makam Nabi pada malam Jumaat dan ketika 10 malam terakhir umat Islam berpuasa. Berita kematiannya juga turut menjadi tular di media sosial.
Allahyarham merupakan seorang rakyat Malaysia. Menurut sumber, Badrul Munir atau Abang Bad adalah merupakan seorang runner membuat visa bagi pelajar-pelajar madrasah. Beliau juga banyak berkhidmat untuk Ulama, Madrasah, Masyaik. Semua mereka ini adalah waris Rasulullah.
Menurut info yang diberikan oleh seorang Ustaz iaitu Ustaz Jamal dari Hulu Langat, yang berada di Tanah Suci berkata, dikatakan arwah bersolat tahajjud di dalam bilik sebelum kematiannya berlaku. Sempat minum satu gelas air masak dan selepas itu Ustaz Jamal sempat meminta satu gelas dari arwah.
Selepas itu, mereka menuju ke Masjid Nabawi, solat sunat Qabliah diikuti solat fardu Subuh dan solat jenazah. Arwah kemudiannya menuju masuk ke Makam Nabi Muhammmad SAW.
“Saya dan Wak Ramli di depan sedikit. Bad dan Ibrahim di belakang. Saya dah keluar tapi keduanya belum keluar lagi. Tunggu punya tunggu, Bad dan Ibrahim tak datang-datang. Kami gerak masuk ke masjid semula. Sampailah saya telefon dan dikatakan Bad tumbang depan Makam Rasulullah SAW.
“Arwah betul-betul jatuh depan Makam Rasullullah, terus meninggal. Innalillahiwaninailahirojiun.”
Ketika solat jenazahnya diaturkan, orang-orang Arab meminta agar orang ramai mendoakan pengkebumiannya di Jannatul Baqi. Kematiannya dicemburui kerana beliau meninggal di Masjid Nabawi, di hadapan Makam Rasullah SAW pada 10 akhir Ramadhan, ketika mengerjakan umrah dan pada malam Jumaat.
Seorang rakan beliau Ustaz Uthma Daud, turut meluahkan rasa sedihnya dengan pemergian sahabatnya itu. Dia juga menyatakan rasa cemburunya dengan perjalanan terakhir sahabatnya itu yang cukup indah.
“Beruntung kau Bad. Aku cemburu Allah pilih engkau disemadikan di perkuburan baqi’. Berdekatan pula dengan Maqam Sayidina Uthman bin Affan radiyallahuanhu dan para sahabat nabi yang lain. ”
“Masa hidup di dunia ni engkau nampak biasa-biasa, tapi pergi dari dunia ini cara luar biasa. Semasa di dunia engkau nampak takde apa-apa kejayaan, tapi engkau sudah pun dapat kejayaan yang sebenar.”
Beliau turut berkongsikan saat-saat akhir ketika pemergian Allahyarham. Sebelum ajal menjemputnya, Allahyarham telah berselawat lebih kurang 70 kali ketika berjalan menuju ke makam Rasullah S.A.W.
“Ibrahim yang menemani almarhum Badrul Munir saat beliau menziarahi maqam nabi dan menghembuskan nyawanya di sana menceritakan:
“Almarhum dan dia (Ibrahim) selesai solat Subuh bangkit berjalan menuju maqam Rasulullah untuk ziarah maqam Baginda sebab mereka baru sampai dari Malaysia ke Madinah al Munawarah pada malam tersebut.
“Ketika bergerak ke maqam nabi, almarhum berselawat lebih kurang 70x ketika berjalan menuju ke maqam. Tinggal lagi satu meter untuk berdiri di hadapan maqam nabi, almarhum jatuh ke belakang, bukan menuju ke arah hadapan. Ibrahim menyangka almarhum ketika itu hanya pengsan, jadi dia tak talqinkan almarhum kecuali hanya memanggil nama sahaja “Bad, Bad!”
“Rupanya almarhum terus menghembus nafas di sana tanpa ada tanda sakit apa-apa. Maulana Aswadi beritahu kepada saya “Jika orang meninggal di tempat lain kita boleh tanya apa asbab dia meninggal. Tapi jika di depan maqam nabi, tak perlu tanya lagi apa asbab dia.”
Sumber: Uthma Daud, Remaja.com