Loading...
TR

'Ada pelajar yang mengaku mengambil telefon bimbit seorang guru dari bilik guru' - Saksi


Mahkamah Koroner hari ini diberitahu ada pelajar yang mengaku mengambil telefon bimbit seorang guru dari bilik guru ketika disoal berhubung kehilangan telefon bimbit itu.

Guru, S. Paramasivam, 47, berkata pelajar itu mengakui perbuatan itu selepas beliau menunjukkan rakaman video yang memaparkan kelibat seorang pelajar dalam bilik guru.

Paramasivam adalah saksi ketiga prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian pelajar tingkatan dua M. Vasanthapiriya, yang meninggal dunia selepas menggantung diri, dipercayai kerana malu akibat dituduh mencuri telefon pintar seorang guru.

Paramasivam yang memberi keterangan pada hari pertama prosiding inkues itu hari ini berkata Vasanthapiriya mengaku dia menunggu di luar pintu bilik guru manakala telefon bimbit itu diambil rakannya..

Katanya Vasanthapiriya juga ada memberitahunya bahawa jika beliau hendak mengambil semula telefon bimbit Cikgu Raymala yang hilang itu, beliau boleh membawanya ke rumah rakannya itu.

"Itulah jawapan yang diberi oleh Vasanthapiriya kepada saya ketika saya bertanyakan hal kehilangan telefon tersebut,” kata saksi itu.

Katanya beliau menanyakan hal itu kepada pelajar berkenaan di tapak perhimpunan sekolah pada pukul 6.30 petang, 24 Jan tahun ini. Beliau juga berkata turut bersamanya ketika itu adalah guru disiplin sekolah bernama Cikgu Salman.

"Pelajar itu mengakui dan memberikan jawapan itu selepas saya menunjukkan video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bilik guru yang terdapat dalam telefon bimbit Cikgu Salman.

"Pada mulanya jawapan yang diberikan oleh Vasanthapiriya adalah bagaimana dia hendak mengaku walaupun ada guru yang mengatakan dia yang mengambil telefon guru itu, disebabkan dia tidak melihat rakaman CCTV itu.

“Akhirnya saya menunjukkan video rakaman tersebut yang terdapat dalam telefon Cikgu Salman kepadanya," kata Paramasivam yang turut mengajar di kelas Vasanthapiriya.

Terdahulu, seorang lagi saksi, Zaharatul Husna Zulkifli, 30, yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist Nibong Tebal (tempat Vasanthapiriya belajar) berkata beliau menyedari dan melihat seorang pelajar memasuki bilik guru dan mengambil telefon bimbit.

"Ketika itu pada jam 12.40 tengah hari (24 Jan 2018), saya ada bertanya kepada pelajar perempuan itu apa yang kamu lakukan dan pelajar berkenaan memaklumkan mahu mengambil telefon dan menyerahkan telefon itu kepada guru tersebut," katanya.

Zaharatul Husna yang mengajar kelas tingkatan empat dan lima berkata, bagaimanapun beliau tidak mengenali pelajar berkenaan.

Inkues yang didengar di hadapan Koroner Norsalha Hamzah bersambung esok.
Inkues dibantu pegawai pengendali yang juga Pengarah Pendakwaan Negeri, Yusaini Amer Abdul Karim dan J.G.Kameni.

Vasanthapiriya meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Hospital Seberang Jaya pada 3.35 pagi, 1 Feb lalu selepas tidak sedarkan diri akibat menggantung diri di rumahnya,

Mendiang dikatakan berbuat demikian selepas dituduh mencuri telefon pintar milik seorang guru wanita di sekolahnya. - Bernama

About Cite Malaya

Powered by Blogger.