Loading...
TR

'Ini kesilapan kami sendiri' - Padah usik meter elektrik, penghuni rumah kena bayar RM8,859.25


Kata orang, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Hasrat mahu mengurangkan kos bayaran bil elektrik bulanan dengan menggunakan cara yang tidak sepatutnya akhirnya memakan diri apabila pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB mengenakan semula caj purata penggunaan bulanan yang telah 'dicuri' selama dua tahun oleh penghuni rumah berkenaan.

Hendak menyesal, sudah terlambat. Namun tindakan wanita ini mengakui kesilapan diri adalah satu tindakan yang berani meskipun tahu dirinya akan dikecam netizen. Setidak-tidaknya, apa yang berlaku pada mereka boleh dijadikan sebagai pengajaran buat para pengguna yang lain di luar sana. 

ASSALAMUALAIKUM. Saya nak cerita sikit tentang apa yang terjadi. Saya harap ia menjadi iktibar dan pengajaran buat semua.  Ini kesilapan kami dan kami tanggung kesilapan itu. 

Lebih kurang dua tahun lalu, keluarga kami ada memasang alat menjimat elektrik pada meter elektrik. Memang salah (tindakan kami ini) pun, tetapi sebab semua barang naik, bil api melambung-lambung. Jadi kami pun pasanglah alat tersebut. 

Maka bil elektrik pun yang kebiasaannya berjumlah RM400 lebih sebulan turun ke RM100 lebih. 

Lebih kurang sebulan lalu, pihak TNB datang untuk membuat pemeriksaan meter dan mereka kata 'penggunaan elektrik tidak relevan', lebih kurang begitulah ayatnya. Jadi, apabila mereka mendapat tahu ada penjimatan, mereka terus keluarkan surat saman. 

Mereka akan kira semula berapa yang sepatutnya dibayar oleh kami setiap bulan, tetapi nilainya masih belum diketahui dan hanya akan diberitahu tiga hari sebelum tarikh pembayaran. Kalau tahu awal, sekurang-kurangnya boleh buat persediaan awal. Tetapi sebaliknya yang berlaku. 

Maka kami adik beradik kira-kira berapa agaknya jumlah yang perlu dibayar kelak. Kami buat anggaran sendiri yang mungkin jumlahnya RM1,000 atau RM2,000. 

Setelah hampir sebulan, kami menghubungi TNB dan caj bil elektrik yang dikenakan dan perlu dibayar adalah RM8,859.25. Terkejut beruk kami! Dan lebih memeranjatkan dan hampir menyebabkan kami sekeluarga terkejut ialah, jumlah yang dikenakan itu tidak boleh dikurangkan dan tiada perbincangan untuk pengurangan. Kami tetap perlu membayar jumlah RM8,859.25 yang telah dinyatakan. 


Pegawai TNB memberi penjelasan dengan baik dan menerangkan apa tindakan dari pihaknya. Menurut TNB, jumlah bil elektrik itu boleh dikurangkan tetapi perlu nyatakan bukti. Contohnya rumah itu tidak berpenghuni atau yang sewaktu dengannya. Tetapi jumlah bil elektrik yang dikenakan perlu dibayar dulu. 

Kemudian kalau nak bawa kes ke mahkamah untuk pengurangan, itu kemudian dan tak dapat dijaminkan sama ada boleh dikurangkan atau tidak. Mereka akan potong pada tarikh itu, ambil gambar dan beri nombor invois. Kita pergi bayar dan mereka akan pasang semula. 

Perit, kan? Tetapi semua itu kesilapan kami sendiri, nak jimat bil elektrik tetapi menggunakan cara yang salah. Memang pada mulanya jimat, akhirnya kami kena bayar juga apa yang nak dijimatkan sangat itu. 

Kepada sesiapa yang ada buat perkara seperti apa yang kami buat ini, jangan disebabkan kita nak mengurangkan jumlah bil elektrik, kita buat tindakan yang menyalahi undang-undang. Hujung-hujung kita sendiri yang kena bayar juga apa yang telah dibuat. Hentikanlah sebab TNB boleh tahu apa yang anda buat. Sistem mereka boleh kesan dan berhentikan sebelum perbuatan anda dikesan. 

Nasib baik Allah beri kami rezeki untuk membayar jumlah saman yang tinggi itu. Kalau tak, maka buat unggun apilah kami di tengah rumah sambil bermain dengan bayang-bayang di dinding. 

About Cite Malaya

Powered by Blogger.