Loading...
TR

'Cucu saya beritahu 'burung' bapanya basah' - Nenek buat laporan polis terhadap bekas menantu


Kebimbangan seorang nenek membawa kepada penemuan yang tidak disangka di mana kemaluan cucu perempuannya berusia 4 tahun mengalami kesan melecet dipercayai dicabul oleh bapa kandungnya sendiri, lapor Harian Metro, Ahad. 

Asiah, 51, mendakwa, cucunya telah menjadi mangsa cabul bapa kandung yang juga bekas menantunya sendiri sejak setahun lalu. 

Perbuatan lelaki terbabit yang tinggal di Johor Bahru itu terbongkar selepas Asiah terkejut apabila mendapati ada kesan melecet pada kemaluan cucunya sudah beberapa kali sebelum ini.

Difahamkan, Asiah menjaga cucunya itu secara bergilir dengan anak perempuannya. Dalam tempoh setahun lalu, bekas menantunya juga ada membawa cucunya pulang ke rumah lelaki itu pada setiap hujung minggu. 

"Beberapa kali selepas dihantar pulang, saya menemui kesan kemerahan di kemaluannya. Sebanyak tiga kali, dia menjalani pemeriksaan dan dimasukkan ke wad di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan kini di Hospital Sultan Ismail (HSI). 

"Doktor mengesahkan kemaluannya mengalami jangkitan kuman dan kulit, namun tidak dapat mengesan puncanya," katanya. 

4 April lalu, Asiah mendakwa mangsa mengadu kemaluannya terasa pedih ketika dia memandikan kanak-kanak itu. Apabila ditanya, mangsa mendakwa dia telah diusik oleh bapanya. 

"Cucu saya menyatakan dia diusik bapanya iaitu bekas menantu selain memberitahu burung (kemaluan) bapanya basah. Saya mempersoalkan perkara itu kepada bekas menantu, namun dia menafikannya," katanya. 

Menurut Asiah, anak perempuan dan bekas menantunya yang berusia 28 tahun telah bercerai pada tahun lalu dan hasil perhubungan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata berusia antara dua hingga empat tahun dan kesemuanya di bawah jagaan ibu kandung dan Asiah. 

Susulan kejadian itu, Asiah membuat laporan polis di Balai Polis Setia Indah. 

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan berasaskan laporan perubatan terhadap mangsa. 

About Cite Malaya

Powered by Blogger.