Loading...
TR

'Temankan aku pergi tandas, takut seorang-seorang ni' - Dia bangun dan temankan rakannya itu sebelum tersedar, bukankah dia seorang diri?


Kisah seram ini diceritakan oleh Ikmal Hanif yang dikatakan pengalaman dirinya sendiri ketika tinggal di asrama sebuah sekolah yang tidak dinyatakan lokasinya bagi menjaga kepentingan pihak sekolah. Kami ingin mengingatkan para pembaca bahawa kisah ini hanya sekadar perkongsian untuk bacaan suka-suka sahaja. Jika anda tidak menggemari kisah seram seperti ini, sila pangkah dan teruskan menikmati tidur malam anda. 

KEJADIAN ini berlaku pada bulan Mei. Kelas petang (Khamis) untuk tingkatan lima dah mula. Aku letih gila sebab pagi tadi ada Pendidikan Jasmani, di sebelah petang pula ada kelas. Nak layan awek merajuk lagi sebab pagi itu aku ada kata yang muka dia iras Norlia Ghani. Dia beduk aku dengan penyapu! Yes, men are trash. 


Aku nak terangkan structure asrama dan kali ini lebih terperinci. Asrama aku tiga tingkat termasuk level floor. Satu level ada tiga dorm dan dua tandas. Satu dorm ada lapan orang. Katil single. 

Aku di dorm 1, paling depan dan paling dekat dengan tangga. Di sebelah kiri dorm aku ada tandas.  Tandas sebelah dorm aku ada masalah air, jadi budak memang takkan pergi ke situ. Kalau nak mandi atau buang air, kami akan pergi ke tingkat atas atau ke tandas hujung tingkat. Belakang blok ada ampaian kain. 

Dapat bayangkan tak? Okay done. Baca dan hadap sampai faham. 



Jadi, pada petang itu jam 5.30 petang baru habis kelas. Aku balik ke asrama dan budak-budak lain sudah mula balik ke rumah. Aku tak ikut member aku balik sebab dia balik kampung. Aku segan nak ikut diorang. Jadi aku ambil keputusan untuk tinggal di asrama. Lagipun weekend ada kelas tambahan sampai petang. 

Tapi yang celakanya aku tertidur! Katil aku di hujung dorm, tepi tingkap. Aku dah pesan pada budak kalau nak balik, kejutkan aku. Entah macam mana dia boleh terlupa. 


Dalam jam 9 malam, hujan turun dengan lebatnya berserta dengan guruh berdentum. Pintu dorm terhempas kuat membuatkan aku terbangun. Dalam keadaan mamai aku mencari telefon. 

Dorm dah gelap dan pintu dorm terbuka luas. Angin bertiup dengan kencang, tempias hujan masuk ke dalam dorm sebab tingkap tidak ditutup. Aku bangun nak pergi buka lampu. Suis lampu terletak di sebelah pintu dorm. 


Satu asrama gelap, koridor gelap, dorm pun gelap. Aku bangun dan jalan dengan bantuan flashlight telefon bimbit untuk buka lampu dorm. Masa aku jalan, sampai di tengah-tengah dorm, petir sambar menyambar. Dorm terang dengan cahaya kilat. 

Di hujung mata aku seperti ternampak ada sesuatu yang sedang berdiri di atas salah satu katil. Warnanya hitam dan besar. Tetapi seperti yang aku kata sebelum ini, aku tak perasan. Bila sampai di suis baru aku terfikir. 

"Eh? Apa benda tadi tu? Besar sial!" 


Aku buka lampu, pandang ke arah katil. Kosong. Hanya ada cadar sahaja. Aku bercadang nak pergi ke pos pengawal sebab nak minta tolong pakgad belikan makanan. Aku pergi ke locker dan ambil beg duit sebelum keluar dorm. 

Semasa dalam perjalanan keluar dari dorm, aku pandang kiri kanan koridor, gelap. Pintu dorm-dorm lain terbuka tutup, berdentam-dentum ditiup angin. Pintu dorm sekolah ada masalah tak boleh ditutup rapat, jadi ia agak senang terbuka sendiri. 

Aku pandang ke bawah, hanya ada lampu jalan di depan surau saja yang dibuka. Aku nak buka lampu koridor tetapi aku tak tahu kontraktor mana yang jenis letak lampu koridor di tengah-tengah laluan koridor? Maksudnya aku kena jalan sampai ke dorm tiga semata-mata untuk membuka lampu ini. Kalau aku tahu siapa yang design suis lampu asrama, aku nak starlight dahi dia guna nenas. 


Aku berjalan ke suis, kiri kanan dorm kosong dan gelap. Angin bertiup dengan kuat. Setiap langkah aku rasa seperti ada 'benda' yang mengekori atau ada 'benda' yang memandang. 

Di sini aku rasa bodoh macam selipar sebab aku pandang dalam dorm tiga. Di hujung dorm tiga aku nampak seperti ada sesuatu yang bersujud. Nak kata orang, takkan dia duk qiamullai jam 9 malam dalam keadaan gelap kan? Aku tengok saja benda itu. 


Tiba-tiba cahaya kilat memenuhi dorm tiga diiikut dengan bunyi petir yang kuat! Benda yang sujud itu tadi hilang. Tempat yang aku pandang tadi juga kosong. Aku terus berjalan ke arah suis dan buka lampu koridor. 

Sebelum lampu dibuka sepenuhnya, lampu akan berkelip-kelip untuk beberapa saat. Aku buka lampu dan di hujung mata aku sekali lagi terpandang sesuatu yang berdiri di depan dorm aku. Dia bukan dalam bentuk fizikal, lebih kepada bayang-bayang atau imbasan.  


Lampu berkelip-kelip dan benda itu pun ikut berkelip-kelip. Bila lampu sudah menyala sepenuhnya, benda itu secara automatiknya hilang. Aku perhatikan saja tempat itu sambil perlahan-lahan berjalan ke dorm sebab nak turun pergi pos pengawal. 

Selama aku berjalan merentasi koridor dan ditemani dorm gelap. Koridor yang cerah, membuatkan dorm dilimpahi cahaya samar-samar. Aku rasa seperti ada orang yang memerhatikan aku daripada dorm itu. Dia memerhatikan aku. Bulu roma aku memang duk mencanak dari tadi. 

Tiba-tiba aku terdengar seperti ada objek berat terjatuh di belakang aku. Objek seperti bungkusan terjatuh. 

KEDEBUBBB!

Seperti benda lembut tetapi kau balut-balut dan kemudian jatuhkan benda itu seperti bunyi pocong terjatuh. 


Aku terkinjat dengan bunyi itu dan terus terpandang ke belakang. Korang kalau barang jatuh pun korang akan secara spontan pandang kan? Begitulah aku. Tak rancang pun tetapi mungkin reflex movement. 

Aku menoleh ke belakang dan ternampak lintasan bayangan hitam lalu di depan aku dengan laju. Zap! dan terus hilang. Tetapi aku dengan lembab bebal aku, pandang depan dan berjalan dalam dua tiga langkah baru terfikir apa benda yang melintas tadi. 



Aku turun tangga, sampai saja di bawah rasa nak menangis dan menjerit semua ada. Aku pergi dekat sebab nak pastikan. Aku tarik gril tangga, berkunci beb. Aku kena lock seorang diri dalam blok woi! 

Kalau pakgad itu bercuti, aku kena duduk seorang diri selama dua hari dalam blok! Seram hanat! Macam mana nak rebus maggi nanti?? 

Aku menjerit memanggil pakgad itu kalau-kalau dia ada di pos pengawal. Tetapi dengan keadaan cuaca seperti ini macam mana nak dengar? 

Selepas 10 minit aku merayu domba di depan gril seperti menunggu ikan kaloi muncul, aku naik semula ke dorm. Aku jalan naik tangga sambil memeriksa baki kredit telefon, tinggal dua sen sahaja. Pishang! 

Aku jalan masuk dorm, nak kunci pintu, tombol tak ada. Diorang sumbat dengan gumpalan surat khabar dalam lubang tombol! Kicap masin betullah siapa yang rosakkan tombol! Aku tutup sajalah pintu. 


Perut lapar sangat. Buka locker, ada maggi kari dua paket. Lepak dan bersandar di bahu katil sambil mengunyah maggi. Memikirkan cara nak keluar. Hujan masih lebat. Aku merancang nak lompat tetapi disebabkan arasnya terlalu tinggi, aku batalkan niat. Nak panjat turun mengikut batang paip? Takut batang paip pecah sebab aku spesis gemuk tapi tak mengaku diri gemuk. 

Jam 11 malam, bunyi hujan menemani aku. Nak pasang earphone, takkan aku nak dengar ringtone Nokia untuk menghilangkan rasa bosan? Nak pasang radio, line tak dapat. 

Tiba-tiba angin bertiup dan pintu dorm terbuka luas. 

SHREEEKKKKKKK! 

Pintu berkarat itu terbuka. Lebih kurang begitulah bunyinya. Tak adalah sama sangat. Kalau betul-betul bunyi macam tu, aku pun gelak beb. 

Pintu terbuka perlahan-lahan, aku pula pandang saja pintu itu terbuka sambil mengunyah maggi. Bila dah terbuka habis, 

GEDEGANGGG!!!! 


Kilat menyambar dan masa itu juga pintu itu tertutup rapat! Seperti ada orang menolak pintu itu! Aku dah rasa tak best. Entah dari mana datang keberanian, aku pergi ke arah pintu sambil pegang Yassin. Aku fikir kalau hantu muncul, aku nak tenyeh saja Yassin di dahi dia seperti cerita Cina. Tampal kertas di dahi hantu. Serius! Benda itu yang aku terfikir pada masa itu. Logik tak logik, letak ke tepi! 


Aku ambil kerusi dan letak di depan pintu. Memang macam bodoh tetapi benda itu membuatkan aku rasa lebih selamat. Aku pusing ke belakang dan berjalan ke katil.

GREEEEKKKKKKKK! 

Kerusi tadi bergerak sekali dengan pintu dorm. Padahal angin tak ada pun pada waktu itu. Dalam masa yang sama aku dapat rasakan ada benda masuk atau keluar dalam dorm itu. Dia rasa macam tak selesa. 

Bila aku teserempak atau rasa benda ini, aku akan automatik panas baran atau naik angin. Dia bukan nak marah orang tetapi seperti semangatnya lain macam. Ibarat pesilat dengar bunyi serunai. Orang Kelantan kata "Naik raaa!". Haa. 

Bila aku pandang ke belakang, kosong. Pintu sudah separuh terbuka. Aku nak tegur dan kali ini aku berani sikit. Selepas banyak kejadian sebelum ini, aku banyak belajar bab-bab begini dari Google, YouTube dan Pakgad tempoh hari. Sikit. 

"Aku maghi nok belajar. Jange kaca aku. Mung buak kijo mung. Aku buak kijo aku." 

(Aku datang nak belajar. Jangan kacau aku. Kau buat kerja kau, aku buat kerja aku)

Tiba-tiba pintu itu tertutup sendiri. Aku tak pasti dia pergi atau dia tutup pintu itu untuk biarkan aku dengan dia saja dalam dorm itu. 

Aku dah cuak, nak pasang ayat Al-Quran? Nokia 1616 mana ada lagu! Takkan aku nak pasang ringtone ayam berkokok bagi dia terkejut? 

Lima minit aku berdiri tegak di tempat tadi. Mulut membaca apa yang aku ingat. Ayat hafazan tingkatan satu pun tiba-tiba boleh teringat. Dulu semasa ustazah ugut nak rotan sesiapa yang tak hafal, dia tak nak pula ingat. 

Selepas itu, aku seperti mendapat keberanian untuk berjalan. Aku jalan ke katil. Pundi kencing pula memekak suruh pergi ke tandas. Aku fikir kalau pergi ke tandas, aku kena naik level atas atau pergi ke tandas di hujung tingkat. Damn! Orang badan yang sial. Suka buat orang susah pada waktu yang tak kena. 

Aku tahan saja kencing sampai tertidur. Jam tiga pagi aku terbangun sebab member aku kejutkan. 

"Kema, teme aku gi tandah kema. Takuk ni sore male-male." 

(Ikmal, temankan aku pergi tandas. Takut seorang-seorang ni)

Aku pun bangun. Mata mamai, taik mata dah keras di mata buat aku susah nak buka kelopak mata. Jalan melepasi dorm dua sambil gonyoh mata. Sampai saja di depan pintu tandas di hujung tingkat, aku terfikir. Kawan? Siapa? Aku seorang saja kan? 

Aku berlari masuk ke bilik, hempas pintu. Keluarkan Yassin dan aku baca kuat-kuat! Masa itu guli di dorm atas berterabur jatuh. Seperti segelen guni jatuh weh! Tak berhenti-henti! 


Tiba-tiba aku terpandang bayang-bayang di tingkap sebelah ampaian. Dia lalu seimbas saja dengan laju dan berwarna putih. Lima minit selepas itu aku nampak pula bayang-bayang seperti sedang berjalan di tingkap sebelah koridor perlahan-lahan. Semakin lama semakin dekat dengan pintu. Bayangan seperti orang tua. 

Pintu ditolak, kaki melangkah. Pakgad hari itu datang. Dia bagi salam menandakan dia manusia. Aku berlari siak gi peluk dia! Memang menangis tak cukup air mata beb! 

Dia bawa satu botol minyak warna hitam. Dia calit minyak itu dan sapu di mulut, hidung, telinga dan mata aku. Wangi. Dia kata itu kasturi hitam. Nak menghalang syaitan dari masuk ke dalam badan sebab syaitan akan masuk melalui lubang-lubang badan kita. 

Dia mengiringi aku turun, bawa aku ke surau. Hujan masih renyai-renyai. Dia balutkan aku dengan kain sejadah dan beri air Yassin suruh aku minum. Seperti ada satu tenaga baru beb. 

Dia ingat yang aku ikut kawan aku balik hari itu dan sebab itu dia tak cari aku. Kawan-kawan aku pula tak pesan pada dia. Dia datang pun sebab nak kunci jam tetapi dia tengok dorm aku saja cerah dan aku duk melalak baca Yassin. Itu yang dia naik. 

Aku pelik, setahu aku aku dah buka semua lampu koridor. Entahlah. 

Malam itu aku tidur dengan dia di surau sampai pagi. Keesokannya aku demam panas dan ikut dia pulang ke rumah. 

Sumber: Ikmal Hanif

ARTIKEL BERKAITAN:

About Cite Malaya

Powered by Blogger.