Loading...
TR

'Kenapa tak tinggalkan je di rumah kalau dah tahu anak (autism) tak betul?' - Terkilan si ibu dibahasakan seperti itu dikhalayak ramai


Adakalanya kita melihat anak-anak orang lain hiperaktif di tempat awam sehingga menimbulkan reaksi kurang senang dan selesa. Tetapi apakah kita tahu di sebalik kelakuan kanak-kanak itu sebenarnya ada masalah tersendiri? 

Oleh itu, jangan cepat menjatuhkan hukum dan sebaik-baiknya cuba membantu seperti yang dilakukan oleh Puan Ariana ini berbanding memberikan persepsi negatif berterusan yang akhirnya membawa kepada kebencian. 

HARI ini saya nak kongsikan sesuatu. Selepas dua minggu dan beberapa hari ini berulang alik ke hospital, dalam tempoh itu saya melihat situasi anak syurga yang dibawa ibu bapa ke hospital dan bagaimana melihat penerimaan masyarakat. 

Anak dalam usia tiga tahun setengah mengikut ibu A pergi mendapatkan rawatan. Sangat hiperaktif sampai beg orang yang duduk ditarik. Si ibu A sedaya upaya cuba mententeramkannya. Orang dewasa di kanan dan kiri mula menunjukkan reaksi tidak puas hati. 

Si ibu A sudah mula rasa malu, ditambah pula dengan keadaan dirinya yang tidak sihat, nampak stress sangat mukanya. Si anak berjalan ke arah sepasang suami isteri dan seorang anak kecil, lalu ambil mainan. Menangislah budak itu. Si ibu B yang anak menangis menjengil mata sebagai tanda marah. Si ibu A memujuk anaknya memulangkan mainan sambil mulut tidak berhenti meminta maaf. 

"Maaf, anak saya austime" kata si ibu A dengan suara terketar-ketar. 

Dalam hati saya kata, betullah sangkaan saya mesti anak ibu A ini istimewa. Dia pandang saya dan saya senyum. Dia tarik anaknya duduk. 

"Kenapa tak tinggalkan saja di rumah kalau dah tahu anak tak betul?" tiba-tiba ibu B bersuara. 

Perghh!! Menyirap dengar tetapi sabarlah. Takkan saya pula nak tegurkan? Ibu A tunduk sambil memeluk anaknya. Sudah nama anak autisme, manalah boleh diamnya. Masih dengar ibu B mengomel. 

Saya bangun dan pergi ke kaunter dan bertanya apakah lama lagi giliran ibu A? Saya jelaskan betul-betul keadaan ibu A. Jururawat di kaunter mengangguk dan kata akan cuba meminta doktor mempercepatkan gilirannya. Saya duduk semula, ramai yang pandang saya. Ibu A senyum sayu pada saya. Hati dia, Allah saja yang tahu. Memang sedih. 

Tak sampai pun tiga minit, anak ibu A mula menunjukkan akan tantrum. Sedaya upaya ibu A memeluk anaknya, pujuk. Orang di sekeliling mula pandang macam bajet bagus. Kau orang punya pandangan itu saya sangat boleh agak. 

Bila keadaan semain tegang, saya teringat di beg tangan saya ada banyak keychain. Saya sengaja bunyikan keychain dan pada mulanya anak ibu ibu tidak pandang. Saya kuatkan sikit bunyi keychain dan dia mula pandang tetapi saya buat tak tahu saja. Perlahan-lahan dia datang dekat dan tengok keychain besi saya. 

Saya panggil dan letak beg sebelah. Berulang-ulang dia pegang dan dia akan goyangkan tangannya bila dengar bunyi keychain, bermaksud dia suka. Bila dia dah mula seronok, saya ambil keychain ketuk-ketuk dan nyanyi lagi Johny perlahan-lahan. Dia ketawa sambil goyangkan badan. Aduhai, teringat anak-anak syurga saya. Dia tarik beg saya dan tengok apa di dalam beg. Saya keluarkan barang-barang yang ada seperti pen, buku dan telefon bimbit, ada make-up. Hahaha!

Tetapi dia terarik dengan tasbih pink yang saya beli dengan mama Roslinah Md Sarip. Dibelek-belek dan diletak atas lantai, dimasukkan dalam mulut. Dia pandang muka saya sambil ketawa tunjuk tasbih. Saya pun dengan konfiden baca subhanaAllah perlahan-lahan. Ibu A perhati saja dengan senyuman. Tiba-tiba anak itu terlena sambil tangan masih pegang tasbih. 

Tidak alam kemudian, jururawat panggil ibu A, saya bagi isyarat suruh ibu A masuk dan saya tolong tengokkan anaknya. Tidak lama kemudian ibu A keluar. Dia ambil anaknya selepas berbual seketika dan tak berhenti-henti mengucap terima kasih. Apa yang membuatkan hati saya sebak bila ibu A kata,

"Dia tak pernah tidur siang kak walaupun seminit. Malam jam 2 pagi baru tidur. Saya penat sangat kak, ini saya pregnant rasa macam nak gugurkan. Saya tak larat kak."

Terkedu saya mendengar kata-katanya itu. Boleh bayangkan tak betapa stressnya ibu A? Ibu B dan yang lain-lain mula beri perhatian. Saya cakap perlahan-lahan dan suruh dia bersabar. Saya tawarkan dia hantar anak ke tempat saya dan tengok apa yang boleh dibantu. 

Tiba-tiba dia memeluk saya, menangis.

"Saya tidak pernah jumpa orang baik macam akak boleh menerima anak saya. Semua orang benci anak saya. Orang kata anak saya jahat," katanya. 

Sayu, saya tepuk-tepuk badan dia perlahan-lahan. Ibu B mengesat air mata. 

Apa yang saya nak katakan ialah, berhentilah memberi persepsi negatif kepada anak-anak syurga. Mereka bukan jahat, mereka sangat istimewa. Mereka perlu layanan sama rata dari masyarakat sekeliling. Mereka juga ada hak sama seperti anak-anak yang lain. Berilah sokongan kepada mereka dan keluarga mereka. 

Mereka semua tidak meminta untuk dijadikan seperti itu. Kita perlulah bersama-sama menyokong mereka, bukannya menghina mereka. Kita tidak tahu betapa deritanya hati mereka melalui semua ini. 

Untuk ibu bapa di luar sana yang mengalami situasi seperti ibu A, teruslah bertabah dan jangan pendam seorang diri. Allah ada dan saya ada serta bersedia mendengar. Boleh call saya, WhatsApp saya. InshaAllah selagi saya sihat, kita akan bantu anak-anak syurga yang semampu kita ya. 

About Cite Malaya

Powered by Blogger.