Loading...
TR

'Kami dah duduk dalam Mid Valley sebelum tempat ini diwujudkan' - Terserempak dengan dua makhluk misteri


Kisah dan pengalaman saya ini berlaku pada tahun 2013 di pusat beli-belah, Mid Valley. Dalam jam dua pagi, saya baru saja selesai menonton filem The Conjuring, American supernatural horror film yang diarahkan oleh James Wan. 

Orang lain semua sudah beredar mengikut arah North Wing. Hanya saya seorang diri saja yang gigih berjalan kaki menuruni eskalator yang telah berhenti berfungsi dan saya fikir nak keluar mengikut South Wing. 

Apabila sudah sampai di Ground Floor, saya mendapati semua pintu telah dikunci dan keadaan pada waktu itu sangat sunyi sepi. Pengawal Keselamatan pun tidak kelihatan. 

Kemudian saya ternampak ada dua orang awek India lepak di Kaunter Pertanyaan. Mujur ada orang, jadi bolehlah saya bertanya macam mana nak keluar dari situ sebab semua pintu sudah dikunci. 

Baru saja mahu bertanya, mereka berdua gelak-gelak kambing pada saya. Saya pun malas nak fikir, lalu bertanya jalan keluar. 

Tetapi mereka kata, mereka berdua sudah bertahun duduk di situ dan inilah pertama kali orang bertanyakan soalan seperti itu pada mereka. 

Saya dah mula rasa cuak pada masa itu. Saya bertanya semula, apa yang mereka maksudkan 'sudah bertahun duduk di situ'? 

"Kami dah duduk dalam Mid Valley sebelum tempat ini diwujudkan." 


Saya pun apa lagi, terus melarikan diri dengan segala kudrat yang ada. Tahu-tahu saya sudah berada di luar premis Starbuck.  Kemudian datang seorang pengawal keselamatan warga asing (Myanmar) bertanya kenapa saya berlari? 

Saya pun jelaskan tentang dua orang wanita yang saya temui di Kaunter Pertanyaan itu. Mendengar penjelasan saya, pengawal keselamatan itu terkejut sebab sebelum ini katanya, ada orang lain yang juga pernah terserempak dengan dua wanita berkenaan. Tetapi dia dan rakan-rakan sekerjanya yang lain tidak pernah terserempak mahupun terjumpa dengan dua orang wanita itu. 

Katanya lagi, mereka juga mendapat arahan dari pihak pengurusan Mid Valley untuk mencari dua wanita berkenaan. Tetapi semenjak dari itu, mereka tidak pernah terjumpa dua wanita terbabit. 

Gambar hiasan
Saya yakin, dua wanita yang saya jumpa itu bukan manusia. Saya sangat yakin. Ngeri siot! 

Dua makhluk berkenaan tak adalah berpakaian sari ke apa. Baju zaman-zaman 90-an begitu. Seorang berbadan gemuk, dan seorang lagi saiz biasa. Mungkin yang jenis bunuh diri di kawasan itu agaknya. Wallahualam.

Sekarang tak tahulah sama ada dua makhluk itu masih ada di sana atau tidak. Kalau tanya pengawal keselamatan yang bekerja di pusat beli-belah itu, rasanya mereka tahu.

Mid Valley memang keras, spooky. Yang jenis tengok filem larut malam itu, janganlah pergi seorang diri. Kalau boleh, biarlah berteman. Kalau sesat, sekurang-kurangnya ada teman.

Yang kes saya, mujur Allah melindungi saya dan memang rezeki saya selamat pada masa itu. Kuasa Allah kuasa Maha Agung. Kalau Dia tak izin, maka takkan dapatnya celaka/bala ke atas makhluk Dia. Semuanya atas Kun Faya KunNya.

About Cite Malaya

Powered by Blogger.