KUALA LUMPUR – Kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus mengadakan program pendidikan mengurus kewangan dengan kerjasama pelbagai agensi awam dan swasta bagi mendidik rakyat Malaysia tentang pengurusan kewangan.
Ini memandangkan hanya enam peratus daripada jumlah rakyat di negara ini mempunyai simpanan sehingga tempoh enam bulan, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz.
Menurutnya, berdasarkan data tersebut yang diperoleh daripada satu kajian, sikap dan tingkah laku terhadap kemahiran dalam mengurus keperluan dan kemahuan, perlu dipertingkat khususnya dalam menangani kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini.
“Bagi merakyatkan pengurusan kewangan yang bijak dan bertanggungjawab, kita akan melanjutkan elemen pendidikan pengurusan kewangan di semua peringkat pembelajaran di sekolah-sekolah rendah dan menengah menjelang 2021,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Othman berkata demikian bagi menjawab soalan Anuar Manap (BN-Sekijang) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan usaha BNM bagi meningkatkan kemahiran kewangan pengguna di negara ini.
Menurutnya, penubuhan Jaringan Pendidikan Kewangan pada November 2016 dengan kerjasama BNM, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja juga bertujuan meningkatkan celik kewangan rakyat melalui strategi kebangsaan bersepadu.
“Sehingga kini, sebanyak 363 program telah dibuat melibatkan 34,000 orang dan 68 agensi,” katanya.
Selain itu, katanya, program Pengurusan Wang Ringgit Anda (POWER!) yang diperkenalkan sejak 2011 khusus bagi golongan belia turut memberi manfaat kepada dua juta individu termasuk dari segi pembiayaan pinjaman. – BERNAMA
The post 6% Rakyat Malaysia Ada Simpanan Cukup 6 Bulan appeared first on The Coverage Edisi BM.