Loading...
gengsensasi

Prihatin nasib orang Melayu, Ku Nan cadang Pulau Pinang jadi sebahagian Wilayah Persekutuan


PUTRAJAYA - Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bercadang menjadikan Pulau Pinang sebahagian Wilayah Persekutuan bagi memastikan negeri itu mendapat limpahan pembangunan yang sama rata, lapor Free Malaysia Today

Menurut beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Nan berkata, idea yang dilontarkan itu bukan berniat mahu meluaskan kuasa ke Pulau Pinang, tetapi disebabkan keprihatinan beliau terhadap nasib orang Melayu di negeri itu. 

"Apa yang berlaku di Pulau Pinang, kita tahu. Dia (kerajaan negeri) tidak pedulikan orang Melayu. Sekiranya perkara ini dapat direalisasikan, kerajaan pusat akan memastikan cara pembangunan di Pulau Pinang adalah untuk semua dan bukan untuk satu-satu kaum sahaja. 

"Kita akan mentadbir daripada peringkat kerajaan pusat seperti di Labuan. 

"Saya hairan mengapa DAP meloncat-loncat dalam isu ini. Barangkali mereka tahu yang kita tahu mereka tidak melaksana pentadbiran dengan baik di Pulau Pinang," katanya. 

Walau bagaimanapun katanya, kesemua itu hanyalah idea dari dirinya sendiri sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan perkara itu memerlukan kertas cadangan, referendum serta persetujuan di peringkat kepimpinan negara. 

Jelasnya, bukan sahaja di Pulau Pinang, tetapi idea yang sama turut dirasakan bersesuaian di Langkawi, Pulau Tioman, Pahang dan sebahagian Melaka. 

Sementara itu, pakar perundangan dan peguam, Gurdial Singh Nijar berkata, idea yang diutarakan oleh Ku Nan itu adalah sesuatu yang mustahil untuk dicapai. Ini kerana perlembagaan melarang seluruh negeri dijadikan sebagai Wilayah Persekutuan.

"Anda tidak boleh mengambil alih terus sebuah negeri, tiada peruntukan seumpama itu.

"Menurut Artikel 1(2) Perlembagaan Persekutuan, Pulau Pinang merupakan salah satu daripada 13 negeri dalam Persekutuan Malaysia, sementara Artikel 2 menjelaskan sebarang perubahan sempadan mesti mendapatkan kelulusan negeri dan juga Majlis Raja-Raja. 

"Perkara itu juga tidak akan berlaku walaupun Barisan Nasional (BN) berjaya menawan semula Pulau Pinang," katanya. 

Bagaimanapun, kerajaan persekutuan masih boleh mengambil sebahagian daripada tanah negeri untuk dijadikan sebagai Wilayah Persekutuan seperti mana Kuala Lumpur, Putrajaya dari Selangor dan Labuan dari Sabah. - The Reporter

About Cite Malaya

Powered by Blogger.