Gambar (kecil) hiasan: X-ray tulang paha yang bercantum senget dan pendek (koleksi Dr Mahyuddin)
|
Oleh Doktor Mahyuddin
Bertalu-talu soalan menerpa saat saya memuat naik status Twitter saya berkenaan kepatahan tulang yang dirawat tukang urut tradisional. Seorang wanita Melayu berusia lewat 60-an ditolak masuk ke bilik konsultasi saya semalam oleh anak perempuan beliau. Wajah wanita itu sugul memandang ke lantai.
"Assalamualaikum Makcik. Makcik apa kabar?"
"Makcik jatuh motor 3 bulan lepas. Lepas itu, makcik pergi hospital, Doktor nak operate nak kaki makcik ini nak dimasukan besi. Makcik tak mahu la sebab makcik ada kencing manis. Kalau ada kencing manis nanti luka payah nak baik," katanya.
"Lepas itu?"
"Lepas itu, makcik pergi berubat kampung. Ada orang beritahu, ada Bomoh tulang terer di Jengka. Makcik pun pergilah. Dia urut paha makcik dan masukkan balik tulang yang patah ini,"
"Habis tu, sekarang macam mana kaki makcik? Dah baik?" tanya saya ringkas walaupun saya sedia maklum jawapan yang saya bakal dengar. Ini bukan kes pertama dan pastinya bukannya yang terakhir.
"Dah tak sakit, tapi lutut dah tak boleh lurus habis. Lipat pun sikit saja yang boleh," kataya sambil cuba melipat sendi lutut. Hanya boleh bengkok dalam 30 darjah sahaja (normal 0-135 darjah).
Mata beliau memandang ke lantai, langsung tidak mahu memandang ke arah saya. Saya langsung tak terkejut. Ya, doktor tidak terkejut. Kebanyakan testimoni suka menyebut 'Doktor pun terkejut'. Kami tak pernah terkejut pun. Kami biasanya berlakon dan buat-buat terkejut sebab kasihan pada pesakit dan nak bina rapport dengan pesakit. Dalam hati kami ini, kami kasihan dengan pesakit yang ditipu hidup-hidup.
"Okey makcik, tulang yang patah ini sudah bercantum. Cuma tulang ini bercantum senget seperti ini," sambil menunjukkan ke x-ray tulang paha (femur) wanita itu.
"Apa yang tukang urut cakap itu langsung tak betul, makcik. Tak ada apa pun yang masuk! Sebab tidak ada apa pun yang boleh dimasukkan. Tulang senget, bengkok dan pendek.
Kelihatan tulang baharu yang tumbuh memenuhi tempat yang patah dan kepatahan yang bercantum dengan menyenget dan pendek.
"Makcik nak saya buat macam mana sekarang?" soal saya.
"Doktor boleh betulkan?" anak wanita itu mencelah dan saya hanya tersenyum memandang beliau.
"Apa kata kita minta tukang urut patah itu yang betulkan? Dah bengkok dan pendek kaki makcik ni. Makcik tak nak saman ke tukang urut itu?" soal saya.
Pertanyaan-pertanyaan itu hanya berlegar di dalam minda yang waras. Ikutkan hati ini, mahu saja saya luahkan. Namun tidak mungkin saya suarakan kepada pesakit atau waris yang menemaninya. Jika tidsebut, tidak mustahil nama saya yang akan diviralkan nanti.
Tuan-tuan, terdapat kepatahan yang mustahil dapat diperbetulkan oleh tukang urut tradisional atau bomoh tulang. Antara kepatahan tersebut adalah:
1. KEPATAHAN TULANG PAHA (FEMUR)
Implan perlu dimasukkan bagi memastikan kepatahan bercantum dengan betul (melainkan bagi kanak-kanak berusia bawah tiga tahun). Tarikan otot paha yang kuat akan menghalang hujung tulang yang patah diletakkan dengan tepat tanpa menggunakan implan. Apatah lagi jika dibalut dengan daun dan disengka dengan buluh dan kayu sahaja.
2. KEPATAHAN YANG MELIBATKAN PERMUKAAN SENDIRI (INTRA-ARTICULAR FRACTURE)
Ini termasuk buku lali, pergelangan tangan, pinggul, lutut, siku dan sebagainya. Ini memerlukan permukaan sendi diletakkan dengan tepat dan sekata (tidak lebih 2 mm step) antara setiap tulang yang patah. Step off melebihi 2mm pada permukaan sendi antara fragment tulang akan menyebabkan sendi pesakit mengalami Osteoarthritis. Pada fikiran tuan-tuan yang bijaksana, bomoh tulang boleh ukur tak 2mm dengan mata kasar melalui kulit ibu atau anak tuan-tuan?
3. KEPATAHAN TULANG RADIUS & ULNA (FOREARM) ANTARA SENDI SIKUT & PERGELANGAN TANGAN
Kepatahan tulang ini jika tidak dimasukkan implan akan menyebabkan pergerakan tangan terbatas (limited pronation, supination).
Tuan-tuan, setiap tulang yang patah jika dibiarkan ia akan tetap bercantum apabila tiba masanya. Tulang baharu akan mula terbentuk dalam 6-8 minggu (3-4 minggu bagi kanak-kanak) dan bercantum sepenuhnya selepas 3-4 bulan. Tidak kira anda berjumpa doktor, tukang urut, bomoh tulang, tabib Cina, hanya duduk di rumah atau bertapa di gua, ia akan tetap bercantum.
Persoalannya, adakah ia akan bercantum dengan mengikut anatomi yang betul atau tidak? Kepatahan yang bercantum senget dan pendek boleh dibetulkan semula namun kami perlu patahkan kembali dan betulkan semula kedudukanserta pegang dengan menggunakan implan (besi) sama ada plate atau nail. Ada ketikanya kami perlu menggunakan teknik khas iaitu Ilizaroy bagi membetulkan kebengkokkan dan memanjangkan kembali kaki yang pendek tersebut.
Pembedahan pembetulan (Corrective Surgery) bagi memperbetulkan tulang yang senget atau pendek boleh dilakukan namun ia lebih sukar kerana antomi yang sudah berbeza, pendarahan yang banyak boleh berlaku, risiko jangkitan kuman serta kecederaan pada struktur berhampiran seperti saraf dan salur darah. Walaupun hasil daripada pembedahan ini agak bagus, namun ada ketikanya tidak dapat mencapai tahap normal.
"Kenapa tak boleh bengkok habis ini, doktor?"
"Kenapa terjadi jangkitan kuman ini, doktor?"
"Kenapa masih pendek ini, doktor?"
Walaupun segala penjelasan telah diberitahu kepada pesakit dan keluarga pesakit, apabila komplikasi berlaku, saya telah melihat pesakit meletakkan kesalahan pada doktor yang telah membantu mereka. Malah ada doktor yang disaman. Disaman kerana membantu pesakit. Tukang urut yang membengkok dan memendekkan kaki tidak pula dipersalahkan atau disaman. Ironi bukan?
Namun itulah sebenarnya yang ingin kami pakar-pakar Ortopedik ini luahkan buat masyarakat kita yang amat suka pergi berurut bila mengalami kepatahan. Masyarakat kita terlalu percayakan perubatan tradisional.
Terlalu banyak cerita dan testimoni yang menakutkan masyarakat mengenai rawatan di hospital selain dariadapa testimoni kehebatan cerita kayangan perubatan alternatif. Ramai yang suka viralkan pelbagai masalah di hospital dan klinik selama ini sehingga mengikis kepercayaan masyarakat terhadap institusi kesihatan kita. Ramai yang kini percayakan bomoh, tukang urut, bomoh patah dan pelbagai makanan tambahan yang keberkesanannya tidak pun dibuktikan secara kajian saintifik. Malah golongan profesional muda juga lebih percayakan testimoni. Namun tidak viral pula nama-nama tukang urut patah yang sudah berjaya membengkokkan kaki dan tangan pesakit ini, mereka selalunya terlepas. Kenapa tidak disaman pula mereka?
Saya menggesa setiap seorang doktor, jururawat dan petugas perubatan memberi testimoni kegagalan, kebengkokkan dan kependekkan kaki malah kematian akibat perubatan tradisional ini. Mari kita sama-sama viralkan mereka agar masyarakat kita tahu bahana akibat terlalu percayakan mereka.
Masyarakat mahu testimoni, kita berikan testimoni. Sudah-sudahlah percaya pada tukang urut tulang patah itu. Mereka tidak bertanggungjawab jika kepatahan anda senget. Nak tengok keadaan tulang patah yang mereka urut pun, anda disuruh ke hospital untuk x-ray. Kalau sudah dikatakan pakar urut tulang patah, tak payahlah ke hospital. Kan, pakar!