Dari Kisah Rumah Tangga
Masih terngiang saat suami ingin menikahi saya. Tersenyum simpul saya dibuatnya, lalu saya memaklumkan kepada ibu. Ibu tersenyum dan berkata, 'tahniah sayang'.
Selepas Mac tahun 2000, kita sah sebagai suami isteri. Disember 2000, kita dikurniakan bayi sulung. Suami tersenyum ketika melaungkan azan.
Dua tahun kemudian, Allah murahkan rezeki kami dengan anak kedua. Dua minggu selepas itu, suami mendapat surat tawaran melanjutkan pelajaran. Syukur semakin murah rezeki kami.
Suami ke kampus, saya di rumah menguruskan anak-anak. Setiap minggu ada saja alasan suami untuk tidak pulang ke rumah. Saya cuba faham, mungkin dia sibuk belajar demi kami semua.
Ketika itu sayalah ibu, sayalah bapa. Segala perbelanjaan keluarga saya tanggung. Suami? Sibuk belajar.
Sehingga satu hari itu, naluri saya sebagai isteri tertanya-tanya, sudah dua bulan suami tidak pulang ke rumah, tidakkah dia rindu pada isteri dan anak-aaknya? Anak-anak pun sudah mula bertanya.
"Ma, mana abah? Bila abah balik? Adik rindu abah.."
Minggu itu juga saya terus pergi ke kampus suami. Tercari-cari kelibat suami, bapa kepada anak-anak saya.
Ketika sedang menunggu kelibat suami, anak-anak tertidur lena dalam kereta di depan rumah sewa suami. Saya tersenyum bila ternampak kelibat suami yang dirindui. Namun terkejut bila melihat suami sedang memeluk bahu seorang perempuan. Berderau jantung, menggeletar kaki saya pada waktu itu. Saya tengok kanak-anak sedang tidur nyenyak di belakang.
Itu abang!
Saya mengamati tubuh lelaki itu, ya memang sah dia adalah suami saya. Aduh! Air mata saya jatuh, selaju-lajunya.
"Abang, sampai hati abang! Sampai hati abang!" itu sahaja kata-kata yang bermain di fikiran.
Saya kuatkan diri keluar dari kereta. Suami ternampak saya, dia terkedu dan perempuan itu juga terkaku seketika. Saya hanya membalas dengan senyuman.
Kami bertiga bersemuka. Entah dari mana datangnya kekuatan diri ini untuk berjumpa dengan suami dan perempuan itu.
"Kami sudah bernikah di Thailand," jelas suami.
Aduh! Gugur lagi jantung saya. Tetapi saya senyum dan tetap senyum. Perempuan itu hanya menundukkan pandangannya.
"Cantik isteri kedua abang. Kurus dari saya, cantik dari saya, memang cantik. Patutlah abang berkenan, tetapi lepaskanlah Laila,"
"Lepas? No way! Aku masih sayangkan anak-anak aku!" kata suami.
"Laila janji akan benarkan abang berjumpa dengan anak-anak. Lepaskan Laila," saya merayu lagi.
"No way!" bentaknya.
"Sebelum ini abang kata nak sambung belajar sebab nak menanggung keluarga, demi masa depan keluarga tetapi apa yang abang dah buat?" soal saya.
"Abang jumpa dia ketika bersama-sama pergi ke perkhemahan universiti," jelas suami.
"Patutlah berminggu-minggu, berbulan-bulan abang tak balik rumah. Sampai hati abang," kata saya.
Sudah setahun berlalu, setahun juga suami tak balik ke rumah, telefon bertanya khabar anak-anak pun tidak, nafkah dan batin? Langsung tidak dipedulikan. Suami abaikan tanggungjawabnya, membiarkan saya dan anak-anak di rumah. Dulu anak-anak selalu bertanya di mana bapa mereka, namun kita mereka seperti sudah terlupa yang mereka ada bapa.
Ya, saya sudah redha dan menerima isteri kedua suami sebagai madu. Demi anak, saya malas nak bergaduh panjang. Suami hanya pentingkan isteri kedua berbanding saya dan anak-anak yang terpaksa survive sendiri.
Saya redha, sangat redha. Saya sayangkan perkahwinan kami, anak-anak kami tetapi menerima semua ini dalam rasa yang sedih sehingga saya tidak sedar saya sudah bersabar beberapa tahun dan selama itu dia tidak pernah endah soal nafkah anak-anak dan isteri.
Bila raya pun, dia hanya kirimkan duit raya melalui Maybank2u. Anak-anak pun sudah malas nak ambil tahu tentang bapanya mereka sendiri sehingga terpacul di mulut mereka, "suka hati abahlah ma".
Hari ini ulangtahun perkahwinan kami yang ke-15, 12 tahun suami tak bersama kami. Saya dibiarkan bergantung tanpa tali. Dari gaji saya RM900, kini RM4,000. Allah swt murahkan rezeki dan kurniakan saya anak-anak yang baik, soleh dan solehah, bijak pandai dan sangat menghiburkan. Setiap tahun saya dijemput pihak sekolah kerana anak-anak dianugerahkan sebagai pelajar cemerlang. Tetapi siapa yang mendapat nama?
Tahniah Encik Zainal, anak-anak Encik Zainal memang bijak
Masih saya teringat ketika menghantar anak sulung ke MRSM. Guru bertanya di mana bapanya. Saya lihat muka Along sudah berubah, sungguh saya sedih tetapi saya tak nak Along pula yang bersedih.
"Maaf cikgu, bapanya bekerja"
Ya, kerja sehingga lupa anak, isteri dan tanggungjawab.
Di hari ulangtahun kami yang ke-15 ini, saya tak nak hiasan intan permata. Tak mungkin saya memilikinya kerana rumah ini pun di atas nama saya sendiri. Harta? Jangan mimpi, langsung tidak pernah mendapat harta dari suami.
Tolonglah, tolonglah lepaskan saya. 12 tahun saya terseksa jiwa batin, bersabar dan menunggu. Lepaskanlah saya, berilah peluang untuk saya merasa bahagia dan saya sudah tidak sanggup untuk meneruskan deirta ini. - Laila