Mangsa Pertama Menemui Ajal Bencana Banjir Pantai timur 2017!| Guru Sempat Hubungi Suami & Minta Tolong Sebelum Mati Lemas Dalam Kereta|Masni Ngah, 44, sempat menghubungi suaminya dalam keadaan cemas meminta tolong apabila keretanya sudah tidak dapat dikawal ketika meredah jalan yang digenangi air dan perlahan-lahan dihanyutkan ke dalam parit.
Dalam kejadian kira-kira 1.50 petang di Paya Rawa, guru Kolej Vokasional Besut itu dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Gong Kepas Dalam namun terperangkap dalam kenderaan yang dpandunya dan dihanyutkan air banjir.
Sebaik sahaja menerima panggilan itu, suaminya, Ahmad Ruzaidi Mahmood, 46, yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Beting Lintang, bergegas meninggalkan sekolah dan setibanya di tempat kejadian berusaha mengeluarkan mangsa.
“Saya berusaha memecahkan cermin tingkap, tetapi dia gagal diselamatkan.
“Itu jalan kecil dan bukan jalan biasa, jalan pintas semasa pulang ke rumah,” ujarnya kepada pemberita di Hospital Besut dalam keadaan sugul, apabila mengimbas detik terakhir perbualan mereka.
Masni yang bersendirian dalam perjalanan pulang ke rumahnya dikatakan pada awalnya mengekori sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Bagaimanapun kenderaan di hadapannya yang membelah arus dikatakan terhenti secara tiba-tiba menyebabkan laluan kereta Myvi miliknya terdedah kepada arus deras.
Arus deras air yang merintangi jalan itu mulai menghanyutkan kereta yang dipandu Masni ke dalam parit yang kedalamannya dianggarkan lebih dua meter.
Suaminya yang tiba kemudiannya berusaha memecahkan cermin tingkap dan apabila dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba, mangsa telah meninggal dunia.
Kejadian disahkan oleh Ketua Polis Besut, Superintenden Mohd. Zamri Mohd Rowi.
Sumber: Eberita.org
The post Mangsa Pertama Menemui Ajal Bencana Banjir Pantai timur 2017! appeared first on KISAH BENARKU.