BUKIT KATIL, MELAKA - Gara-gara tindakan seorang pengasuh (separuh masa) yang tidak bertanggungjawab, seorang bayi lelaki berusia 8 bulan dimasukkan ke hospital.
Kejadian itu hanya disedari oleh ibu mangsa selepas anaknya kelihatan lemah, tiada selera makan dan kedua-dua belah mata ke atas (ala-ala sawan) sebelum dihantar ke Hospital Pantai Ayer Keroh untuk mendapatkan rawatan.
Bapa saudara mangsa, Acong, berkata, anak saudaranya itu baru saja dihantar ke sebuah pusat jagaan kanak-kanak selama tiga hari sejak 28 Disember 2016.
"Baru hantar tiga hari dan baru tengok rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk hari Jumaat sahaja," katanya.
Berdasarkan rakaman CCTV, kata Acong, anak saudaranya diletakkan di atas lantai saja selepas dimandikan pengasuh. Ketika mangsa sedang baring, pengasuh telah menarik tangannya untuk didukung dalam keadaan duduk.
Mangsa juga ditempatkan dalam bilik penghawa dingin dan kipas selama beberapa jam tanpa dipakaikan baju, selain dibiarkan menangis selama 4 jam hingga 5 jam.
Difahamkan, pihak keluarga akan membuat laporan polis dan akan mengambil tindakan undang-undang berhubung kejadian berkenaan. - The Reporter