Loading...
gengsensasi

Vape tak haram, tetapi akan dikawal


PUTRAJAYA - Penggunaan rokok elektronik atau vape tidak akan diharamkan, namun akan dikawal selia tiga kementerian iaitu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Kementerian Teknologi, Sains dan Inovasi (MOSTI), lapor Harian Metro hari ini. 

KPDNKK dalam kenyataan berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 28 Oktober lalu di mana KKM akan mengawal selia penjualan cecair yang mengandungi nikotin mengikut Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952. 

Selain itu, KKM juga akan mengawal selia penjualan, promosi, penajaan dan pelabelan yang berkaitan dengan kesihatan bagi cecair tanpa nikotin vape, manakala larangan merokok termasuk larangan penggunaannya bagi pengguna bawah umur. 

Sementara itu, MOSTI melalui Jabatan Standard Malaysia pula akan membangunkan standard bagi bateri, peranti dan pembungkusan cecair tanpa nikotin vape mengikut Akta Standard Malaysia 1996. 

KPDNKK pula akan mengawal selia dan menguatkuasa peraturan standard keselamatan bagi bateri dan peranti mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) dan mengawal selia serta menguatkuasa penandaan maklumat berkaitan pada label peranti dan cecair tanpa nikotin vape mengikut akta sedia ada. 

Selain itu juga, aktiviti pelesenan, pengeluaran, pengedaran termasuk import, eksport dan peruncitan peranti dan cecair tanpa nikotin vape mengikut akta baharu juga akan dikawal selia oleh KPDNKK. - The Reporter

About Cite Malaya

Powered by Blogger.