Ibu kepada seorang pesakit kanak-kanak berusia empat tahun, meluah rasa kecewa terhadap layanan yang kurang memuaskan dari seorang kakitangan Klinik 1 Malaysia dalam kejadian hari ini. Wanita berkenaan mendakwa, Penolong Pegawai Perubatan berkenaan telah menengking dan melayaninya dengan biadab.
Berikut adalah aduan Puan Eja Ali:
Assalamualaikum, selamat petang. Maaf, saya di sini bukanlah sengaja mahu membuka aib orang, apatah lagi memanjangkan hal ini. Tetapi oleh kerana sikap seorang Penolong Pegawai Perubatan yang teramat biadab dan mencabar saya, saya terpaksa melakukan juga.
Hari ini, 22 Disember 2016, dalam jam lebih kurang 10-11 pagi saya datang ke Klinik 1 Malaysia di Taman Cendana Pasir Gudang, Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan bagi anak saya berusia empat tahun kerana demam panas dan lelah.
Dipendekkan cerita, anak saya diberi rawatan induce gas atau nab. Namun saya tidak dibenarkan menemani anak saya atas alasan anak saya sudah cukup besar untuk ditinggalkan sendiri untuk menjalani proses nab, walaupun pada masa itu anak saya lemah dan merengek-rengek. Saya akur dan saya tinggalkan anak saya sendirian.
Selepas lima minit kemudian, saya menyuruh anak lelaki saya berusia 10 tahun untuk sekadar menjengah anak saya di dalam bilik rawatan melalui cermin di pintu. Penolong Pegawai Perubatan itu ternampak lalu menegurnya dengan nada yang agak kasar.
"Hei buat apa tu? Duduk sana, adik awak lama lagi tu,"
Okay, saya masih diam dan selepas 15 minit, saya menjenguk sebab anak memanggil meminta tolong lapkan hingus. Saya masuk sebab anak merengek-rengek untuk lap hingusnya dan kemudian saya tanya apakah memang prosedur kanak-kanak di atas usia dua tahun tidak boleh ditemani ibu bapa. Dan bagaimana jika kanak-kanak itu lemah dan menangis bila ditinggalkan bersendirian.
Sekali lagi, saya ditengking dengan ayat berikut,
"Susahlah kalau tak faham bahasa," sambil menutup pintu dengan kuat.
Saya agak terkejut dan masuk bilik Penolong Pegawai Perubatan itu semula dan meminta penjelasan mengapa perlu marah-marah jika betul itu prosedurnya. Tak perlulah sampai nak bersikap seperti itu dan boleh diterangkan dengan cara yang baik.
"Saya tak tahu, saya tanya. Tetapi kenapa kamu jawab dengan kasar sekali?" soal saya.
"Akak tak puas hati ke? Kalau tak puas hati, lapor pada pihak atasan," katanya (seperti yang dicerita oleh pengadu) mencabar saya untuk membuat laporan dengan memberi kad pengenalan dan kad kerjanya untuk saya rujukkan pada pihak atasannya.
Begitu biadab sekali. Tetapi kad pengenalan dirampasnya semula. Sekali lagi saya ditengking sambil jarinya ditunding-tunding pada saya.
Beginikah layanan kepada pesakit dan penjaga pesakit? Bila saya ingin pulang saya berbual seketika dengan seorang kakitangan lelaki. Namun wanita itu tadi menegur kakitangan berkenaan.
"Dah, dah. Jangan layan, tutup saja pintu,"
Sikap yang langsung tak profesional. Sungguh biadab. Kalau saya melanggar prosedur tak boleh jenguk anak yang berusia empat tahun, yang keadaannya lemah, demam dan lelah yang kuat untuk napping sendiri tanpa dipantau, dia bagaimana pula yang sudah melanggar prosedur untuk berbudi bahasa dengan pesakit dan penjaga pesakit?
Tiada tatasusila langsung. Saya tak salahkan semua tetapi kerana sikap segelintir begini, habis semua mendapat malu. - E'ja A'li