#NEW DELHI – Terkilan mendengar isterinya dimalukan oleh orang berkasta lebih tinggi kerana mengambil air di telaga mereka, lelaki ini sanggup menghabiskan 40 hari berturut-turut untuk menggali perigi bagi mencari air untuk kegunaan keluarganya.
#Bapurao Tajne, menangis bila isterinya menceritakan kembali pengalaman dia dihalang dan dimalukan ketika cuba mengambil air dari telaga milik orang yang lebih berkasta tinggi di Maharashtra, India, yang dilanda kemarau.
#“Sayaberazam, kami tidak akan lagi mengemis air daripada sesiapa,” katanya.
#Tajne yang bekerja sebagai buruh, sanggup bangun lebih awal setiap pagi dan menggali telaga selama 4 jam sebelum pergi kerja selain dua jam sebaik pulang bekerja.
#“Sebenarnya saya cuma berdoa dan bergantung kepada kata hati ketika mencari tempat menggali.
#“Meskipun pada mulanya saya gagal kerana tiada pengalaman atau ilmu. Malah, ramai yang mentertawakan saya kerana terpaksa mencuba tiga kali sebelum berjaya. Namun saya tidak berputus asa dan akhirnya menemui air,” katanya.
#Tajne juga turut bermurah hati berkongsikan air telaganya itu bersama orang kampung.
#“Biarlah mereka ketawakan saya dulu, yang penting kita semua dapat berkongsi rezeki,” katanya.
#Difahamkan, seramai 330 juta orang terkesan akibat cuaca kemarau yang melanda India. Sesetengah tempat juga bekalan air minuman telah dicatu.
#“Sejujurnya, saya tidak pernah membantunya langsung. Malah saya pernah mentertawakan dia kerana tidak percaya dia mampu berjaya. Tetapi sebaik saja dia menemui air, saya dan kami sekeluarga gembira dan terus menyokongnya,” kata isterinya. – PIXEL MEDIA
Sumber : Informasiberganda