Sistem Insuran Pekerjaan (SIP/ EIS)
Sepanjang minggu lepas, saya banyak membaca ketidakpuasan hati pekerja berkait pemotongan caruman Sistem Insurans Pekerjaan (SIP/EIS) apabila mendapat slip gaji Januari 2018.
Sebagai Orang HR saya terpanggil berkongsi sedikit maklumat Skim SIP ini yang saya perolehi dan wajib memotong gajian pekerja setiap bulan tanpa gagal memandangkan ia adalah potongan mandatori berdasarkan arahan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta SIP 2017/ AKTA 800) yang berkuatkuasa mulai 01 Januari 2018.
Ya, ramai pekerja rasa tertipu kerana menyangka potongan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso/Socso) dan caruman SIP adalah potongan berkait dan sekadar untuk memenuhkan kantung kerajaan yang kononnya sudah kosong.
IA TIDAK BENAR!
Secara ringkas, caruman Perkeso adalah caruman untuk faedah pekerja jika mengalami kematian atau keilatan akibat kemalangan berkait kerja atau penyakit akibat pekerjaan. Manakala SIP pula adalah caruman untuk faedah pekerja jika mereka dibuang kerja akibat masalah ekonomi atau lain-lain faktor mengikut kelayakan.
Persamaannya ialah keduanya diurus oleh PERKESO, dan menggunapakai konsep majikan dan pekerja mencarum dalam satu tabung yang membayar faedah kepada pekerja yang terlibat musibah sahaja. Jika pekerja tidak terlibat musibah, bayaran carumannya lebur dan tidak dipulangkan semula sebagaimana caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP/ EPF).
Caruman SIP sangat rendah iaitu 0.2% daripada penggajian pekerja dan 0.2% syer majikan. Dan jumlah itu pula terhad kepada RM7.90 maksimum kepada keduanya. Bermakna caruman tertinggi pekerja bergaji RM4,000 dan ke atas untuk SIP bagi pekerja dan majikan cuma Rm15.80. (Fasal 18, Jadual Kedua, Bahagian 45)
Caruman terendah pula ialah 10 sen sebulan bagi pekerja bergaji Rm30 atau kurang, dengan caruman 5 sen pekerja dan 5 sen majikan. (Fasal 18, Jadual Kedua, Bahagian 1)
Semua majikan swasta wajib mencarum SIP jika mempunyai satu pekerja dan ke atas. Dan pekerja juga tiada pilihan biarpun sudah bergaji RM4,000 ke atas. Diringkaskan cerita, jika anda mencarum Perkeso, anda sebenarnya wajib mencarum SIP. Tak boleh lari!
Oh ya! Biarpun mengikut takrifan Akta Kerja 1955, definisi pekerja itu turut meliputi Pekerja asing, SIP melalui Fasal 83 mengecualikan caruman pekerja asing dan mereka tidak layak untuk mendapat faedah ini.
Sebagai pengetahuan umum, saya dapat katakan bahawa jika sesuatu syarikat mengalami kemerosotan dan hendak membuang pekerja, mereka dikehendaki membuang pekerja asing terlebih dahulu biarpun kemahiran di syarikat tersebut memang bergantung kepada pekerja asing. Dan mereka tidak mendapat sebarang pampasan SIP dan dikehendaki pulang ke negara asal.
Objektif SIP?
- Bantuan kewangan seawal 7 hari selepas disahkan hilang kerja.
- Bantuan perolehan kerja baharu melalui penempatan semula pekerjaan.
- Bantuan latihan dan latihan vokasional. Turut diberi elaun latihan dan yuran.
Syarat kelayakan SIP? (Fasal 30 Akta SIP 2017)
- Retrenchment (pembuangan pekerja beramai-ramai), Redundancy (Pertindihan kerja).
- VSS / MSS (Perberhentian pekerja secara sukarela/ mutual).
- Force Majeuce (bencana alam), rusuhan, kebakaran dan kerosakan gas.
- Majikan hilang (abscond), Syarikat muflis, Syarikat tutup.
- Pengstrukturan perniagaan, automasi, teknologi digital.
- Pengecilan operasi (downsizing).
- Constructive dismissal oleh majikan akibat pelanggaran terma kontrak.
- Pekerja diarah kerja luar skop kerja yang bahaya kepada keselamatan dan kesihatan.
- Pekerja letak jawatan akibat ugutan kepada diri atau keluarganya, atau gangguan seksual.
Pekerja yang TAK LAYAK?
- Kes disiplin/ salah laku
- Berhenti kerja sendiri
- Bersara wajib.
- Tamat tempoh kontrak.
Syarat layak?
1. mencarum sekurang-kurangnya 12 bulan berterusan. Tuntutan ikut kelayakan. Contohnya pekerja telah mencarum 12 bulan, dia layak mendapat faedah hanya 3 bulan dengan formula agihan elaun 80%, 50% dan 40%. Jika sudah mencarum 24 bulan, pekerja akan dapat 6 bulan elaun dengan formula 80%, 50%, 40%, 40%, 30% dan 30%. (Fasal 18, Jadual Kedua dan Jadual Ketiga).
2. Pencarum itu mesti bersedia untuk bekerja semula, mampu terus bekerja dan mesti aktif mencari kerja.
Faedah SIP?
- Penempatan pekerjaan dan kaunseling kerjaya.
- Elaun Mencari Pekerjaan (EMP).
- Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA).
- Elaun Latihan (EL).
- Fi/ Yuran Latihan (FL).
- Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB). Ini khas untuk pekerja yang punyai lebih daripada satu majikan.
Okeylah, untuk pengetahuan am. Maklumat ini saya kira sudah sangat mencukupi. Jika hendak tahu lebih lanjut, boleh layari www.perkeso.gov.my/sip/. Semoga bermanfaat.
Izman Pauzi
Orang HR Kilang
Penulis buku JANGAN SENTAP, OKEY! (Karangkraf)
Rujukan :
- Slaid terbitan Perkeso berjudul 'Sistem Insurans Pekerjaan (SIP): Taklimat Awal Perlaksanaan Peringkat Kebangsaan. Dikemaskini sehingga 20 Disember 2017.
- Portal rasmi Perkeso di www.perkeso.gov.my/sip/
- Surat Arahan Perkeso melalui Pekeliling Majikan Bil. 3 Tahun 2017: Tatacara Pendaftaran Dan Caruman Bagi Sistem Insurans Pekerjaan (PKS/BC/208/157/4 Jld.2(16).
#sisteminsuranspekerjaan2017