Loading...

Kata Sahaja Kutip Anggur Di Australia Lumayan Tetapi... Baca Kisah Ini

Siapalah yang tak tahu mengenai tawaran bekerja sebagai pemetik buah di luar negara terutama Australia dan New Zealand dengan gaji yang sangat lumayan melebihi gaji seorang eksekutif.
Siapa yang tidak tergoda dengan angka pendapatan RM200,000 setahun dijanjikan sehinggakan ramai graduan yang mencuba nasib dan tergoda dengan gaji tersebut.


Tetapi tak ramai yang tahu kisah di sebalik kerjaya memetik buah anggur ini. Ikuti pengalaman bekas kakitangan swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 32, pengalaman selama dua bulan di Melbourne, Australia.

Saya diperkenalkan dengan seorang ejen oleh rakan yang sudah ke sana, yang mengenalkan diri sebagai Mie dan dia menawarkan harga promosi RM1,500 kononnya sebagai kos menguruskan penginapan serta pengangkutan minggu pertama saya apabila tiba di sana nanti.
Memikirkan saya bergerak secara solo, saya mengambil keputusan menggunakan khidmat ejen itu dan meletakkan sepenuh kepercayaan kepadanya.
Jumlah keseluruhan dibelanjakan untuk ke sana, termasuk tiket kapal terbang dan upah ejen, hampir mencecah RM9,000 dan saya terbang ke Melbourne pertengahan Januari 2014.

Ejen mengarahkan saya ke sebuah pekan kecil dikenali sebagai Robinvale dalam daerah Victoria berbekalkan satu nombor telefon yang dia sendiri tidak tahu siapa, tetapi mendakwa ia kontraktor yang akan memberikan saya kerja.
Selepas itu, saya tidak dapat menghubungi ejen itu dan di situlah bermulanya episod penipuan demi penipuan oleh beberapa individu yang rata-rata mendakwa sudah mendapat taraf penduduk tetap (PR) Australia.
Minggu pertama saya di sana, saya memetik anggur dan sepatutnya menerima bayaran A$450, namun, kontraktor hanya membayar A$150 atas alasan saya berhutang dengannya serta jumlah kotak anggur yang saya petik kurang daripada yang saya rekodkan.

Saya akhirnya mengambil keputusan menceritakan apa yang terjadi kepada ibu dan akhirnya ibu menyuruh saya pulang.

Cerita manis di FB dan juga blog menyatakan seminggu boleh meraih pendapatan A$1200 bukanlah tidak boleh dicapai, namun ia memerlukan masa sekurang-kurangnya setahun sebelum pekerja diberikan kepercayaan untuk dibayar dengan jumlah itu.
Namun, sanggupkah anda bekerja tanpa sebarang dokumen yang sah serta dihantar pulang ke tanah air tanpa hasil sekiranya ditangkap pihak berkuasa?

Sudahlah ke sana bermodalkan hampir RM9,000 dan pulang ke tanah air dengan hasil sebanyak RM1,200, ia langsung tidak berbaloi, rugi dan menambah hutang yang sedia ada. Buat anda yang bercita-cita untuk mencuba kerjaya sebagai pemetik buah anggur, berfikirlah banyak kali dan ambil tahu pengalaman mereka yang telah ke sana ya! - CARI Infonet

About Cite Malaya

Powered by Blogger.