Seorang kakitangan kedai serbaneka di Taman Semenyih Indah, berdepan dengan detik cemas apabila premis itu didatangi lelaki bersenjatakan parang yang mahu melakukan jenayah samun. Video kejadian itu sempat dirakam dan kini tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8 malam dari orang awam yang memaklumkan mengenai kejadian itu yang berlaku pada Isnin lalu, 17 Oktober.
Siasatan awal mendapati, suspek yang memakai topi dan menutupi mukanya menggunakan kain serta bersenjata parang, masuk ke premis tersebut kira-kira jam 7.20 malam.
Suspek mengarahkan juruwang wanita berusia 21 tahun membuka laci kaunter dan menyerahkan kesemua wang tunai. Namun, mangsa enggan berbuat demikian dan berpura-pura berkata dia tidak mempunyai kunci kaunter.
"Mangsa cuba berdolak-dalik dengan menipu tiada kunci kaunter menhyebabkan suspek naik angin.
"Suspek kemudian menengking mangsa agar menyerahkan telefon bimbit. Tetapi mangsa melarikan diri ke dalam stor dan segera mengunci pintu, sebelum suspek beredar dari premis itu," katanya.
Kejadian rompakan di speedmart semenyih indah semalam . Doakan adik saya 🤲🏻 pic.twitter.com/9jV5KdASRA
— عوانيس ♔ (@awnsrzhn) October 18, 2022
Pemeriksaan mendapati, suspek hanya melarikan beberapa bungkus rokok. Mangsa pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu tampil menghubungi mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.
Sumber: Siaran Media IPD Kajang