Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa terjatuh di atas jalan raya sebelum ditemui dan diselamatkan oleh orang awam.
Mangsa masih hidup, tetapi mengalami kecederaan di bahagian kepala.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd Sabri Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.32 petang semalam.
"Siasatan awal mendapati pemilik sebuah restoran di kawasan berkenaan menemui bayi terbabit kira-kira jam 5 petang.
"Sebelum itu dia mendakwa terdengar bunyi dentuman kuat di belakang restoran berkenaan ketika berada di dapur premis itu sebelum bergegas ke lokasi terbabit.
"Lelaki itu kemudian menemui bayi lelaki dalam keadaan bogel tetapi masih hidup di atas tanah yang kemudian membalutnya dengan kain dan membawanya ke klinik berhampiran," katanya.
Hasil siasatan awal, polis telah menahan seorang wanita warga Indonesia berumur 20-an dipercayai ibu kepada bayi berkenaan, jam 11.30 malam tadi di Hospital Kajang.
"Permohonan reman terhadap suspek dibuat di Hospital Kajang, pagi ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi," katanya.
"Saya panik dan badan saya menggigil apabila melihat bayi itu kebiruan," katanya yang sebelum itu sedang makan di restoran lokasi kejadian.
"Ketika sedang makan, tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman dari bumbung restoran itu sebanyak dua kali. Kemudian saya terdengar pekerja wanita restoran itu menjerit sebelum bergegas ke bahagian belakang premis untuk memeriksa kejadian.
"Namun terkejut apabila menemui bayi lelaki dalam keadaan bogel berhampiran besi konkrit. Saya sangka bayi itu sudah mati, namun tangannya masih bergerak. Rupanya, dentuman pertama saya dengar adalah bayi terbabit yang dicampak. Dentuman kali kedua pula adalah uri bayi.
"Saya segera mencapai apron yang bersidai di premis terbabit untuk membalut bayi berkenaan yang kaki dan tangannya sudah kebiruan serta ada darah di kepala dan hidung, selain ada kesan calar di bahunya.
"Tanpa berfikir panjang, saya terus berlari ke depan restoran dan menahan van kilang lalu mengarahkan pemandunya untuk membawa saya ke klinik berhampiran.
"Sepanjang mendukung bayi itu, saya rasa panik dan badan menggigil apabila melihat keadaannya seperti susah bernafas. Saya risau tidak sempat menyelamatkan nyawanya dengan membawanya ke klinik terletak 200 meter dari restoran berkenaan.
"Orang awam yang juga saksi kejadian ada menghubungi Hospital Kajang memaklumkan kejadian, lalu pegawai dari hospital berkenaan datang menjemput bayi itu untuk dibawa ke hospital," katanya kepada Harian Metro.
Difahamkan, bayi berkenaan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kajang dan berada dalam keadaan kritikal, selain bahu kanannya patah dan turut mengalami pendarahan di bahagian kepala.