Loading...
TR

Isteri trauma dirogol rakan suami yang menumpang tidur di rumah mereka


Seorang anggota tentera dijatuhkan hukuman penjara selama 13 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ampang hari ini, selepas didapati bersalah kerana merogol isteri rakannya ketika menumpang tidur di rumah pasangan itu, tahun lalu, lapor Bernama. 

Hakim Syafeera Mohd Said menjatuhkan hukuman itu terhadap Koperal Mohd Zulkarnain Abdul Razak, 37, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan. 

Tertuduh juga turut diperintahkan menjalani hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh hukuman dijatuhkan. 

Seramai 10 saksi pendakwaan dan emapt saksi pembelaan memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula pada 2016. 

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian jam 3.30 pagi 12 Julai 2016, semasa mangsa berumur 25 tahun sedang tidur bersama anaknya di dalam bilik, mangsa tersedar apabila dia merasakan dia dihempap dan dalam keadaan gelap dan separuh sedar kerana mengantuk. Mangsa merasakan ada berlaku kemasukan ke dalam kemaluannya. 

Difahamkan, tertuduh datang ke rumah pasangan itu untuk menumpang tidur selama sehari.

Apabila mangsa membuka matanya sedikit, ternampak seorang lelaki berkepala botak yang mana mangsa menyangka lelaki itu adalah suaminya kerana suaminya juga berkepala botak. 

Tertuduh juga cuba meliwat mangsa, menyebabkan mangsa terkejut lalu bangun dan melihat lelaki itu bukan suaminya, sebaliknya rakan suaminya yang berada dalam keadaan bogel. 

Mangsa terus menjerit, namun tertuduh meminta mangsa tidak bising dan dia segera memakai pakaiannya dan meninggalkan mangsa. Mangsa kemudian menghubungi dan memaklumkan kejadian itu kepada suaminya. 

Peguam tertuduh, Mohd Azhar Mohd Ghazali memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan mengambil kira jasa anak guamnya kepada negara yang telah berkhidmat selama 18 tahun dalam pasukan tentera. 

"Tertuduh juga mempunyai seorang anak kecil berusia lapan tahun. Jika satu tempoh pemenjaraan yang panjang diberikan, tertuduh akan kehilangan semua keistimewaan yang dikecapi sepanjang perkhidmatannya dalam tentera dan anaknya juga akan berhadapan dengan stigma masyarakat dengan pemenjaraan bapanya itu," katanya. 

Timbalan Pendakwa Raya, M. Arunjothy memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan kesalahan serius yang dilakukan tertuduh yang mengambil kira faktor kepentingan awam, trauma, emosi dan malu yang dihadapi mangsa dan keluarganya ekoran kejadian itu. 

About Cite Malaya

Powered by Blogger.