Salam Takziah Buat NORA & Keluarga Atas Pemergian Suami Tersayang. Allahyarham Johan Nawawi.| KUALA LUMPUR: Komposer terkenal Johan Nawawi yang juga suami kepada penyanyi Wan Norafizah binti Ariffin, atau Nora, meninggal dunia pada awal pagi Jumaat, selepas dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di Subang Jaya. Memetik laporan mStar, berita itu disahkan oleh Nora dalam satu kiriman ringkas mesej suara.
Allahyarham yang berusia 52 tahun dikatakan dibawa ke pusat perubatan berkenaan kerana keadaan kesihatannya kurang mengizinkan. Difahamkan, Allahyarham mula demam sejak pulang dari Jakarta, Indonesia, namun cuba menggagahinya dengan mengambil ubat. Beliau kemudiannya dimasukkan ke pusat perubatan tersebut untuk menerima rawatan kecemasan. Allahyarham bagaimanapun disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 6.20 pagi.
Nora turut berkongsi perkara itu melalui akaun Instagramnya.
Berikut adalah 5 fakta tentang komposer terkenal itu.
1. Walaupun mempunyai diploma dalam jurusan seni bina, Johan Nawawi menceburi bidang muzik sebagai seorang komposer sejak 1980-an.
2. Pernah tercalon untuk pelbagai anugerah muzik berprestij. Antara kemenangan beliau sebagai komposer termasuk Anugerah Juara Lagu ke-22 bagi kategori Etnik Kreatif untuk lagu “Samudera” dan memenangi kategori Lagu Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) untuk lagu “Jentayu” pada 1996.
3. Allahyarham banyak mencipta lagu untuk Nora. Antara lagu popular beliau untuk isterinya adalah “Hanya Satu”, “Desa Tercinta”, “Naluri” dan “Samudera”.
4. Allahyarham dikurniakan empat cahaya mata: Mohd Syakir Iman, Mohd Syakir Alif, Putri Nor Dahlia dan Putri Nor Fathehah. Dua dari mereka turut terlibat dalam industri seni menerusi kumpulan Voices of Ummi.
5. Pada 2012, Allahyarham dan Nora melancarkan ‘Ummi… Ceritalah Pada Kami’ iaitu siri animasi berunsur Islam dan melancarkan aplikasi UMMI Apps pada 2016. Ia terbitan syarikat mereka Hud Hud Media dan Johan Nawawi Sdn Bhd.
Sumber-AstroAwani
The post Salam Takziah Buat NORA & Keluarga Atas Pemergian Suami Tersayang. Allahyarham Johan Nawawi. appeared first on KISAH BENARKU.