SHAH ALAM, SELANGOR - "Selalu dengar kisah kecuaian pengasuh, hari ini anak manja saya, Alif, pula yang kena," demikian kata si ibu yang kecewa anaknya tidak dijaga dengan baik oleh pengasuh.
Dalam kejadian 30 Disember, ibu mangsa, Nadia, mendakwa pengasuh anaknya cuai sehingga menyebabkan anaknya terminum cecair pelembut pakaian (soflan) dan masuk ke dalam mata menyebabkan mata mangsa luka 80%.
Menurut bapanya, pada hari kejadian itu, pengasuh terbabit keluar ke kedai sebentar dan meninggalkan anak asuhan di rumah bersendirian sebelum berlakunya kejadian yang tidak diingini itu.
Susulan kejadian itu, mangsa dihantar ke Hospital Shah Alam untuk mendapatkan rawatan segera dan laporan polis juga telah dibuat untuk tindakan lanjut.
"Bertambah serabut kepala ini. Jam 5 pagi, tiba-tiba telinga Alif pula berdarah. Ya Allah, kenapa ni? Sudahlah mata tak dapat dibuka, telinga pula keluar darah. Ya Allah, kuatkanlah semangat saya ini," katanya.
Nadia berkata, dia tidak pasti berapa banyak cecair tersebut diminum dan masuk ke dalam mata anaknya. Apa yang pasti, doktor yang mencuci mata anaknya mengatakan memang banyak cecair yang masuk dan 80% kornea mata luka.
Malam kedua, mangsa di Hospital Shah Alam | Foto - Nadia |
"Lebih menyedihkan bila dia nak makan, tangannya teraba-raba mencari koko krunch. Subhanallah, air mata tak henti-henti keluar. Di mana kekuatan saya sebagai ibu? Rasa luluh dah hati ini,"katanya.
Posted by Nadia Chumil on Friday, 30 December 2016
Dalam perkembangan terkini, luka di mata mangsa hampir pulih 40%, bagaimanapun belum dapat diputuskan sama ada mata mangsa kabur atau mampu melihat kerana mangsa enggan membuka mata dan berkemungkinan masih trauma.
"Serius saya tak boleh maafkan pengasuh itu. Setiap kali anak saya menangis dimasukkan ubat, setiap kali itulah saya geram dan ingat muka pengasuh. Dia sedikit tak ada rasa tanggungjawab. Tak apa, bagi dia selesa duduk di rumah," kata Nadia. - The Reporter