Padah mencabar pihak berkuasa secara terbuka menerusi siaran langsung di aplikasi TikTok, seorang remaja lelaki dikejar polis sebelum berjaya ditahan.
Aksi kejar mengejar seperti adegan dalam permainan video Grand Theft Auto V (GTA V) dua bintang itu turut sempat disiarkan dalam aplikasi tersebut.
Difahamkan, aksi kejar mengejar itu berlaku kira-kira 1 minit sebelum perakam bertukar tangan di mana anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta suspek mengulangi apa yang disebutnya sebelum itu.
Suspek bernama Adam itu bagaimanapun kelihat kecut dan ketakutan serta beberapa kali berdiam diri mungkin kerana bingung memikirkan nasibnya selepas ditahan.
Setelah puas didesak, akhirnya Adam akur pada arahan anggota berkenaan.
"Cakaplah macam hang dok buat live tadi!" kata anggota berkenaan.
"Yang mana (polis) ada di Lebuhraya Butterworth - Kulim (BKE), kalau polis datang kami tak takut..." kata Adam.
"Cepat lah, orang ramai nak dengar juga," desak anggota berkenaan sekali lagi.
Dalam masa yang sama ada pengguna TikTok yang memberi 'gift' dan jumlah penonton juga meningkat lebih dari 5 ribu.
Adam kemudian berkata, "Ini baru pertama kali... Kat BKE, ada buat function, polis buat kacau, angkat semua," katanya.
Selepas itu, Adam dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu di media sosial, netizen luah rasa geli hati dengan tindakan kurang cerdik Adam yang akhirnya memakan diri.
"Dik, kau nak buat benda bangang, simpan kat diri sendiri je. Tak payah kecoh-kecoh," kata Hamzah.
"Dik, hang baru main motor ka? Adoi malu orang Penang dik oi buat gitu. Hang cabar polis dik, bukan JPAM. Balasan itu sekejap saja Allah nak bagi hang sebab bercakap besar. Tup-tup rezeki hang, polis terus tangkap.
"Nak main motor tak salah, tapi ikut cara sah la. Hang berlumba dekat highway, kalau jadi apa-apa kesian la kat mak ayah hang. Nyawa ini Allah bagi sekali ja atas dunia ni sementara saja. Lepas ni bawa-bawalah beringat," komen Syafiq.