Sempena Hari Pekerja 1 Mei, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa kerajaan akan membuat penilaian semula berhubung isu gaji penjawat awam.
Beliau berkata, penilaian semula akan dibuat terutamanya yang membabitkan gaji penjawat awam gred rendah yang dianggap tidak memuaskan, walaupun kerajaan Madani mengambil alih negara dalam keadaan kewangan semasa yang amat parah.
"Sudah sampai masa kita melakukan penilaian dan kajian semula.
"Ini jaminan saya, kita bagi komitmen ambil alih dalam keadaan kewangan yang sangat parah, (di mana) hutang (negara) berjumlah RM1.5 trilion," katanya memetik laporan daripada Harian Metro, Isnin, 1 Mei 2023.
Walau bagaimanapun, penjawat awam diminta memberikan sedikit masa kepada kerajaan untuk berbuat demikian dan bergantung pada hasil kerajaan.
"Bagi saya tempoh setahun. Kalau ada trend peningkatan hasil, yang pertama (akan dilaksanakan) adalah upah penjawat awam.
"Selain itu, segala bonus atau apa saja kemudahan, termasuk kesihatan, yang harus dibantu, kita akan segerakan," katanya.
Untuk rekod, sejak beberapa tahun lalu Cuepacs sudah beberapa kali menggesa kerajaan mengkaji semula gaji penjawat awam yang dilihat tidak relevan dengan kos sara hidup semasa semakin meningkat.
Bagaimanapun, kerajaan yang sudah bertukar beberapa kali dilihat tidak begitu memberikan komitmen untuk menyelesaikan isu tersebut.