Padah melakukan aksi berbahaya ketika menunggang motosikal, pasangan suami isteri masing-masing berusia 16 dan 17 tahun itu akhirnya tampil menyerah diri.
Dua remaja berkenaan terdahulu 'menghilangan diri' selepas video mereka tular di media sosial. Bagaimanapun, pasangan terbabit berubah fikiran dan hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pasangan berkenaan tba di IPD Kota Bharu pada jam 10 pagi semalam dan terus ditahan untuk siasatan lanjut.
"Kedua-duanya akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu untuk permohonan reman bagi siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih RM15,000," katanya.
Kelmarin, Polis Kelantan mengeluarkan kenyataan bahawa mereka sedang memburu pasangan terbabit kerana melakukan aksi berbahaya.
Sumber: Harian Metro