Seorang pelajar institut pengajian tinggi (Indonesia), Muhammad Ramadhan Hasibuan, 20, nekad membunuh rakannya, BL, 19, yang berasal dari Kota Medan, Sumatera Utara, kerana berang selalu dituduh mencuri laptop.
Lapor Kompas, kejadian itu berlaku di bilik sewa mangsa di Kota Medan pada Jumaat lalu, 7 April 2023, kira-kira jam 1 petang.
Ketika itu, penduduk di sekitar dikejutkan dengan jeritan mangsa, lalu datang memeriksa keadaan dan mendapati mangsa berlumuran darah.
Mangsa sempat dikejarkan ke hospital, namun tidak sempat diselamatkan dan dia disahkan meninggal dunia.
Ramadhan dalam keterangannya kepada polis berkata, mangsa selalu menuduhnya mencuri laptop. Padahal dia sudah berkali-kali menafikan tuduhan itu.
"Saya berdendam pak, balik-balik saya dituduh melakukan perkara yang saya tak buat. Saya berdendam dengan dia, saya tikam dia. Tak ingat berapa kali," katanya.
Bengang dengan tuduhan itu, suspek merancang untuk melakukan pembunuhan itu dua hari sebelum kejadian dan menyediakan sebilah pisau yang diperoleh daripada dapur rumah.
Pada hari kejadian, suspek datang ke bilik sewa mangsa dan terus menyerangnya tanpa belas kasihan. Mangsa ditikam bertubi-tubi sehingga tidak bernyawa sebelum melarikan diri.
Ketua Polis Sunggal Kompol, Chandra Yudha Pranata berkata, suspek telah ditahan di kediamannya pada awal pagi Sabtu, 12 jam selepas kejadian itu berlaku.
Ketika ditahan, ahli keluarga suspek menangis kerana tidak menyangka anak mereka akan ditangkap disebabkan terbabit dalam kes bunuh.
Ramadhan kini berdepan dengan hukuman penjara seumur hidup atau paling maksimum 20 tahun.
Sumber: Kompas