Peguam Syarie yang mewakili pengarah Syamsul Yusof, Mohd. Azmi Rias memaklumkan anak guamnya enggan melafazkan cerai terhadap isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana, hari ini adalah disebabkan draf persetujuan yang dibuat sebelum ini telah dipinda.
"Apabila diserahkan draf persetujuan, kami mendapati terdapat perubahan antaranya plaintif (Puteri Sarah) masih ingin meneruskan saman terhadap Ira Kazar dan keluarganya.
"Puteri Sarah juga meminta jumlah mutaah yang tinggi dan harta-harta lain yang disepakati sebelum ini, yang mana tidak dapat dipersetujui oleh defendan (Syamsul)," katanya.
"Kami juga sudah membuat tindakan balas dan juga kami mencadangkan beberapa terma tapi tidak dipersetujui oleh Puteri Sarah. Jadi, dari segi penyelesaiannya tidak ada," katanya.
Dalam masa sama, Azmi menafikan dakwaan yang mengatakan Syamsul meminta diskaun tuntutan nafkah anak-anak.
Puteri Sarah sebelum ini dilaporkan tidak mahu mengikuti dua syarat yang ditetapkan oleh Syamsul seperti yang dibincangkan sebelum ini.
Ini kerana dia tetap mahu meneruskan tindakan saman terhadap Ira Kazar dan keluarga yang menyebabkan kemusnahan pada rumah tangganya.
Ibu kepada dua anak itu juga tidak bersetuju dengan tindakan Syamsul yang meminta diskaun bagi tuntutan nafkah dua anak mereka.
"Dia minta diskaun untuk tuntutan nafkah anak. Anak-anak bukan untuk didiskaunkan! Kalau untuk anak-anak pun nak minta diskaun, jadi jawapannya tidak (setuju) dan saya akan berjuang tak kiralah berapa puluh tahun pun," katanya.
Sumber: Kosmo! Online, Harian Metro