Pelakon Hafidz Roshdi pagi tadi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menumbuk isterinya sebanyak tiga kali sehingga mendatangkan kecederaan dalam kejadian 2 Mac lalu.
Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu kemudian memerintah pelakon berusia 29 tahun itu menjalani rawatan psikiatri di Hospital Bahagia.
Sebaik keluar daripada mahkamah, Hafidz dalam kenyataannya kepada media meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenai rumah tangganya. Sebaliknya menitipkan doa-doa yang baik sahaja.
"Kepada yang di luar sana, berhenti buat spekulasi dan menyebarkan fitnah terhadap saya dan keluarga saya di media sosial untuk isu-isu yang anda sendiri tidak tahu kebenarannya.
"Mungkin dengan doa-doa anda yang baik akan menambah baik keadaan saya dan keluarga.
"Saya akur dengan perintah yang dikenakan oleh mahkamah. Sebagaimana yang anda semua maklum, saya perlu mendapatkan rawatan. Jadi, itu sahaja yang saya boleh komen," katanya.
Dalam laporan Sinar Harian, Hafidz mengakui dia masih mencintai dan Nurul Shuhada serta mahu menyelamatkan rumah tangga mereka. Malah dia akan berusaha untuk berdamai dan berbaik semula dengannya.
"Saya mahu berbaik dan harap ruang pendamaian dengan isteri masih terbuka. Rasa cinta saya terhadap Shuhada masih ada.
"Saya reda dengan apa yang telah ditakdirkan. Kini kes saya telah dihadapkan ke mahkamah dan biarlah mahkamah sahaja yang membuat pertimbangan sewajarnya
"Kepada kedua-dua anak saya, Humairah dan Umar, abah rindu dan sayang kalian berdua. Tidak pernah sesaat pun abah lupakan kalian," katanya.
Difahamkan, Hafidz telah membayar ikat jamin sebanyak RM4,000 dan akan menjalani rawatan psikiatri di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Perak.
Sumber: Sinar Harian