Beberapa lebuh raya akan melaksanakan sistem pembayaran terbuka selewat-lewatnya September ini bagi membolehkan pengguna membayar tol menggunakan kad debit dan kredit.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata lebuh raya berkenaan ialah Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Baru Pantai, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur, Lebuhraya Koridor Guthrie serta Jambatan Pulau Pinang.
"Pelaksanaan sistem pembayaran terbuka ini ialah antara inisiatif awal sebagai peralihan ke arah sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) yang sedang giat diusahakan," katanya dalam catatan di Facebook hari ini.
Nanta berkata, pembuktian konsep (POC) MLFF akan dijalankan sebelum akhir Oktober ini dan lokasi terlibat sedang dalam rundingan, sebelum dimuktamadkan dalam masa terdekat bagi menilai sistem MLFF sebelum ia dilaksanakan bagi kesemua lebuh raya.
Beliau berkata, pelaksanaan sepenuhnya MLFF akan dilaksanakan secara berfasa selewat-lewatnya pada suku ketiga 2024.
Nanta menjelaskan melalui pelaksanaan MLFF, sistem pembayaran terbuka akan dilaksanakan bagi kutipan tol untuk semua lebuh raya di Malaysia, dan membuka peluang kepada lebih ramai pihak pemberi kemudahan e-dompet turut serta, seterusnya tiada lagi monopoli oleh Touch N Go.
"Persaingan sihat akan wujud di antara pemain industri, yang akan membuka lebih banyak pilihan kepada pengguna lebuh raya untuk membuat pembayaran tol, sekali gus memberikan kemudahan kepada mereka.
"Saya berharap usaha ini akan mendapat kerjasama semua pihak dan memberi manfaat yang menyeluruh kepada semua, terutama rakyat dan pengguna lebuh raya di negara ini," katanya.
Pada Ahad, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan seorang peserta dalam program dialog anak muda 'Temu Anwar' di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur memaklumkan, kerajaan akan mempertimbang semula monopoli Touch N Go dalam pengangkutan dan jalan raya.
Sumber: Bernama