Loading...
TR

Lelaki ditampar, dipaksa makan najis selepas perbuatannya menyeksa kucing terbongkar



Seorang lelaki di China ditampar, dipaksa melutut dan dipaksa makan najis selepas perbuatannya menyeksa kucing terbongkar. 


KUTIP & BELA KUCING TERBIAR UNTUK DISEKSA SAMBIL DIRAKAM


Video lelaki itu dihukum tersebar meluas di media sosial China dengan beberapa media tempatan membuat liputan mengenai kejadian itu. 


Menurut Global Times dan Southern Metropolis Daily, lelaki itu dikenali sebagai Lee, yang kononnya mengambil dan membela beberapa ekor kucing terbiar sebelum diseksa.


Lee yang merupakan pekerja di sebuah pejabat di Suzhou, timur China juga merakam dirinya menyeksa kucing-kucing malang itu dan memuat naik video tersebut di media sosial dengan komen provokatif. 


Beberapa ekor kucing dilaporkan mati akibat daripada perbuatan Lee. 


LEE DISERANG PENCINTA KUCING


Perbuatan Lee itu diketahui oleh seorang pencinta kucing dari luar negara yang kemudian memaklumkan perkara itu kepada kumpulan pencinta kucing di China. 




Bengang dengan perbuatan kejam Lee, kumpulan pencinta kucing itu bersatu dan mula mencari Lee sebelum mengambil tindakan terhadapnya. 


Kira-kira lapan individu yang berjaya mengesan Lee di sebuah plaza komersial di Suzhou pada 25 Februari 2023. Lee cuba melarikan diri tetapi gagal kerana dia telah dikepung oleh kumpulan berkenaan. 


MENGAKU BUNUH LIMA EKOR KUCING


Lee kemudian dibawa ke lokasi lain di mana dia ditampar dan ditendang untuk memaksanya mengaku perbuatanya. Mereka turut memaksa Lee melutut, wajahnya dicalit deengan najis dan dipaksa menelan sebahagian dari najis itu.


Video Lee dihukum oleh kumpulan itu dimuat naik ke media sosial mengundang pelbagai reaksi warga maya, termasuk pihak berkuasa tempatan. 


Pada 1 Mac, polis memaklumkan mereka telah membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu dan menegaskan Lee dan individu yang terbabit akan disiasat mengikut undang-undang. 


Timbul spekulasi yang mendakwa Lee telah diserang oleh kakitangan Persatuan Sukarelawan Perlindungan Haiwan Kecil Suzhou (SSAPA). Namun, jurucakap SSAPA menafikan dakwaan itu dan menegaskan pihaknya tidak terlibat dalam kejadian tersebut. 


Sumber: Mothership


About Cite Malaya

Powered by Blogger.